PETALING JAYA: Larian IJM Allianz Duo Highway Challenge 2024 yang bakal diadakan pada 8 September depan menampilkan kelainan apabila saingan kali ini turut membabitkan maraton penuh sejauh 42 kilometer (km).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan IJM Corporation Berhad, Lee Chun Fai, edisi keenam itu juga buat kali pertama akan membabitklan jajaran dua lebuhraya, Lebuhraya New Pantai Expressway (NPE) dan Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) kendalian IJM.
Katanya, pihaknya menjangkakan seramai 10,000 peserta akan menyertai larian yang mula diperkenalkan pada 2017 itu.
“Kami sangat teruja untuk menganjurkan acara larian IJM Allianz Duo Highway Challenge edisi keenam ini yang menampilkan kategori maraton penuh 42.195km yang pastinya akan mencetuskan gelombang keterujaan serta menarik penyertaan baharu.
“Selain itu, buat pertama kalinya kami menggabungkan cabaran Lebuhraya NPE dan Lebuhraya BESRAYA menjadi satu acara dengan menawarkan larian di dua jajaran lebuh raya yang pastinya memberikan pengalaman larian yang unik dan istimewa,” katanya.
Larian kali ini turut dibahagikan kepada empat lagi kategori iaitu cabaran 1.5km bagi kanak-kanak, Fun Run 5km, larian 10km dan larian 21km.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia, Sean Wang, berkata: “Kami bersemangat untuk menampilkan cabaran yang dinamik dan tersendiri ini bagi menyemarakkan semangat daya saing pelari selain memupuk semangat rakyat Malaysia untuk mengutamakan kesihatan dan kesejahteraan mereka,” katanya.-UTUSAN