HONG KONG : Satu kajian baharu menunjukkan ibu kota terbesar di dunia mengalami hari yang lebih panas berbanding sebelum ini.
Trend yang makin berbahaya itu didorong oleh suhu panas terik di seluruh Asia akibat krisis iklim yang semakin teruk.
Analisis oleh Institut Antarabangsa untuk Alam Sekitar dan Pembangunan (IIED) yang diterbitkan pada Jumaat, mendapati sebanyak 20 bandar di dunia menyaksikan lonjakan 52 peratus dalam bilangan hari melebihi 35 darjah Celsius dalam tempoh tiga dekad lalu.
Kesemua bandar itu adalah kawasan paling ramai penduduk di dunia yang dihuni lebih 300 juta orang.
Dari Buenos Aires, Argentina ke ibu kota Perancis, Paris dan Kaherah, Mesir, kajian mendapati pelepasan gas rumah hijau yang disebabkan oleh manusia makin meningkat, yang menjadi punca ibu kota semakin panas.
Ia sekaligus menimbulkan ancaman kepada kesihatan manusia, ekonomi dan infrastruktur.
Penyelidik kanan IIED, Tucker Landesman berkata, perubahan iklim bukan sekadar ancaman masa depan, tetapi ia sudah berlaku dan menjadi semakin teruk.
“Hanya dalam satu generasi, terdapat peningkatan yang membimbangkan dalam bilangan hari haba melampau yang menjejaskan beberapa ibu kota terbesar dunia, yang diburukkan lagi oleh kesan pulau haba bandar,” katanya dalam kenyataan akhbar.
Bandar-bandar Asia, yang membentuk kira-kira separuh daripada ibu kota paling ramai penduduk di dunia, menyaksikan beberapa peningkatan suhu terbesar.
Ia adalah satu trend yang terbukti dalam gelombang haba baru-baru ini di seluruh benua, dari Asia Tenggara hingga China dan India.
Benua Asia secara unik terdedah kepada risiko iklim disebabkan bilangan penduduknya yang tinggi, kadar kemiskinan dan perkadaran penduduk yang tinggal di kawasan rendah terdedah kepada banjir, kenaikan paras laut dan bencana alam yang lain.
New Delhi mendahului senarai bandar paling panas, mencatatkan 4,222 hari melebihi 35 darjah Celsius dalam tiga dekad yang lalu, iaitu lebih banyak dari mana-mana bandar lain yang dianalisis.
Seoul, Korea Selatan dan Beijing, China juga mengalami peningkatan yang ketara pada hari yang sangat panas.