Baju Malaysia ke Olimpik Paris dikecam teruk di media sosial

Baju Malaysia ke Olimpik Paris dikecam teruk di media sosial

BERIKUT adalah pakaian rasmi kontinjen negara dalam empat edisi Sukan Olimpik bermula Olimpik London 2012, Rio 2016, Tokyo 2020 dan Paris 2024.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelbagai pandangan dan kritikan diluahkan peminat sukan tanah air yang berasa tidak puas hati selepas melihat pakaian rasmi bakal disarung oleh atlet negara ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024 yang dijadualkan berlangsung pada 26 Julai hingga 11 Ogos depan.

Sejak Majlis Pelancaran Hari Olimpik Malaysia yang diadakan Ahad lalu, rata-rata peminat sukan tanah air mempersoalkan rekaan baju berkenaan yang disifatkan ‘menyakitkan mata’ dan setaraf sukan sekolah berbanding pakaian rasmi kontinjen negara yang disarung atlet-atlet sebelum ini di temasya sukan terbesar dunia empat tahun sekali itu.

Rekaan mengubah warna Jalur Gemilang kepada warna kuning serta corak harimau kelihatan ‘tenggelam’ pada baju terbabit menjadi topik hangat diperkatakan peminat sukan tanah air di dalam media sosial.

Disebabkan rasa tidak puas hati berkenaan rekaan baju berkenaan, beberapa peminat sukan tanah air ‘mencantikkan’ pakaian rasmi daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) itu mengikut kreativiti masing-masing.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung MOM Datuk Mohd Nazifuddin Najib menegaskan bahawa pakaian rasmi kontinjen negara ke pelbagai temasya sukan dibangunkan dengan mengambil kira konsep rekaan terkini walaupun berdepan kekangan tertentu.

Katanya, pemilihan pakaian rasmi itu dibuat selepas MOM dan pihak penaja berbincang dan mempertimbangkan beberapa faktor antaranya kos yang perlu dikeluarkan.

“Sebenarnya kita tertakluk kepada apa yang penaja boleh berikan dalam keadaan pengehadan tertentu dan ia (juga) bergantung dengan bajet. Kalau nak terbaik atau premium, itu menjadi faktor kos kepada penaja jadi ia perlu dipertimbangkan.

“Ini bukan peruntukan daripada kerajaan atau wang daripada siapa-siapa tetapi ihsan daripada penaja,”katanya.

Dalam perkembangan sama, Timbalan Presiden MOM, Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan rekaan baju itu akan kekal dan tidak akan diubah suai.

“Rekaan baju akan kekal dan tidak akan diubah,” tegas Hamidin yang juga merupakan Ketua
Kontinjen Malaysia (CDM) ke Paris 2024.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN