PETALING JAYA: Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi bersedia untuk mengambil bahagian dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak yang dijadual berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos depan.
Ini berikutan Azeem telah gagal melepasi had kelayakan masa untuk layak secara merit ke Sukan Olimpik Paris yang akan diadakan dari 26 Julai hingga 11 Ogos.
Bagaimanapun, atlet kelahiran Perak itu hanya boleh membuat keputusan selepas Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengumumkan nama atlet yang bertanding ke temasya tersebut menerusi slot wildcard.
Azeem boleh beraksi di Olimpik Paris jika namanya dipilih oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (MOM) untuk bertanding atas tiket wildcard yang hanya diberikan satu kuota sahaja.
“Apa-apa keputusan MOM dan KOM, saya akan terima seadanya. Kalau berpeluang, sudah tentu saya akan buat yang terbaik, kalau tidak saya akan fokus kepada kejohanan lain, berkemungkinan Sukma.
“Saya tidak akan dapat beraksi dalam kedua-dua kejohanan kalau saya dapat ke Sukan Olimpik,” katanya.
Azeem dijadual beraksi di Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 di Surabaya dan Malang, Indonesia yang membuka tirainya secara rasmi, hari ini hingga 6 Julai.
KOM bakal memilih sama ada Azeem atau pelari 400 meter (m) wanita negara, Shereen Samson Vallabouy untuk mengisi satu slot wildcard ke Olimpik Paris.
Bagaimanapun, bagi kuota wildcard atlet hanya dibenarkan beraksi dalam acara 100m, 800m dan maraton di temasya tersebut.-UTUSAN