PETALING JAYA: Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi membuktikan kemampuannya selepas membantu University Auburn muncul juara acara 4×100 meter (m) pada kejohanan Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) di Oregon, Amerika Syarikat (AS), hari ini.
Bermula di lorong keenam, Azeem memecut menjadi pelari pertama Auburn terpantas keluar dari garisan permulaan sebelum menentukan kemenangan mereka menerusi Makanakishe Charamba.
Kuartet yang dibarisi Azeem bersama Kanysola Ajayi, Dario Matau dan Charamba berhasil mencatatkan masa 38.03 saat (s) selepas melepasi ujian saringan 38.38s yang mana catatan terbaik mereka musim ini.
Universiti Louisiana State (LSU) merangkul pingat perak menerusi catatan 38.21s manakal gangsa menjadi milik Universiti Houston (38.25s).
Kejohanan ini menjadi medan pemanas badan pelari berusia 20 tahun itu bagi beraksi di olahraga Terbuka Malaysia di Kuantan pada 14 hingga 16 Jun ini.
Terdahulu, Azeem membantu kuartet 4x100m lelaki Universiti Auburn meraih perak Kejohanan Balapan dan Padang Southeastern Conference (SEC) di Florida, Amerika Syarikat pada bulan lalu.
Pelari berasal Teluk Intan itu masih mencari detik catatan 10s demi melayakkan diri secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Pelari berpangkalan di AS itu setakat ini, hanya mampu melakukan catatan terbaiknya musim ini 10.24s ketika beraksi pada Kejohanan Olahraga Jemputan LSU di Los Angeles pada 27 April lalu.
Azeem bakal mengharungi jadual yang padat iaitu Terbuka Malaysia pada 14-16 Jun ini diikuti Terbuka Kazakhstan (23-24 Jun) dan Sukan Universiti ASEAN 2024 di Surabaya-Malang, Indonesia pada 2-5 Julai ini.-UTUSAN