Australia lawan sebenar skuad muda negara

Australia lawan sebenar skuad muda negara

PEMAIN-Pemain muda negara kelihatan ceria menjalani sesi latihan ringan sebelum turun beraksi menentang Australia bagi aksi Piala AFF B-16, hari ini.-IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Aksi berdepan Australia merupakan ujian sebenar kepada barisan pemain skuad bawah 16 tahun (B-16) negara dalam aksi kedua kumpulan C Piala AFF B-16, pada pukul 4 petang, hari ini.

Jurulatih skuad B-16 negara, Javier Ribera berkata persiapan rapi sudah dilakukan termasuklah mengenal pasti kelemahan pasukan terutamanya di bahagian serangan dan pertahanan.

Katanya, barisan pemainnya akan berusaha sedaya upaya untuk memburu gol awal bagi memastikan tiga mata menjadi milik pasukan muda negara.

“Kita akan mengharungi perlawanan yang cukup penting dan sengit. Australia sudah pastinya adalah nama yang besar dan akan cuba meraih kemenangan pertama.

“Mereka seri menentang Thailand sekali gus mahu mengutip tiga mata apabila menentang Malaysia. Maka, kita akan cuba mencari gol awal untuk pasukan,” katanya.

Terdahulu, pasukan muda negara melaungkan amaran awal di pentas saingan AFF B-16 selepasa membelasah Timor Leste 5-0 dalam aksi pertama kumpulan C, Ahad lalu.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Sriwedari, Surakarta, Indonesia itu, menyaksikan pemain muda negara beraksi cemerlang dengan menguasai hampir keseluruhan perlawanan.

Lima gol diperolehi dalam perlawanan itu, dijaringkan oleh Izzuddin Afif, Fahmi Farizamal dan Arrayan Hakeem manakala Awal Wafiy Ahmad Syukri menyumbang dua jaringan untuk negara.

Ketika ini, skuad muda negara berada di kedudukan pertama kumpulan C dengan tiga mata manakala Thailand dan Indonesia mengutip satu mata selepas kedua-dua pasukan itu mencatat keputusan seri tanpa jaringan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya