AS bimbang Israel-Hezbollah berperang - Utusan Malaysia

AS bimbang Israel-Hezbollah berperang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENTAGON: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Lloyd Austin menegaskan penyelesaian diplomatik diperlukan bagi mengelak tercetusnya perang antara Israel dengan kumpulan Hezbollah di Lubnan. 

Semasa mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Israel, Yoav Gallant pada Selasa, Austin menyalahkan ketegangan yang memuncak atas ‘provokasi’ oleh Hezbollah.

Jelasnya, perang besar-besaran akan merosakkan semua pihak yang terlibat serta boleh mencetuskan kebakaran serantau.

“Peperangan hanya akan menjadi malapetaka dan akan memusnahkan orang awam di Israel dan Lubnan yang tidak bersalah.

“Diplomasi adalah cara terbaik untuk mengelakkan lebih banyak ketegangan.

“Jadi kami segera mendapatkan perjanjian diplomatik yang dapat memulihkan ketenangan berpanjangan di sempadan utara Israel dan membolehkan orang awam pulang dengan selamat ke rumah mereka di kedua-dua belah sempadan Israel-Lubnan,” katanya kepada pemberita.

Tentera Hezbollah dan Israel berbalas tembakan hampir setiap hari sejak permulaan perang di Gaza, tahun lalu. 

Namun, serangan semakin meningkat sejak beberapa minggu lalu, sehingga mencetuskan rasa tidak senang yang semakin ketara. 

Gallant pula mencadangkan Israel boleh meneruskan perang besar-besaran menentang Hezbollah di selatan Lubnan. 

Semasa pertemuan itu, Gallant berkata, pihaknya ‘bekerja rapat’ dengan Austin bagi mencari resolusi diplomatik serta membincangkan ‘kesediaan tentera dalam berdepan sebarang senario’.

Walaupun Israel berterusan menyalahkan Hezbollah berhubung pemindahan beribu-ribu warga Israel dari rumah mereka berhampiran sempadan Lubnan, namun, kumpulan yang disokong oleh Iran itu memberi isyarat tidak berminat terlibat dalam kancah peperangan yang lebih luas. 

Sejak Oktober tahun lalu, beribu-ribu orang awam Lubnan dipindahkan dari kawasan berhampiran sempadan Israel, dan lebih 80 orang awam dan bukan pejuang terbunuh. 

Di Israel, 11 orang awam terbunuh akibat serangan balas itu.  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya