PETALING JAYA: Pemain skuasy negara, Aifa Azman terlepas peluang berdepan Aira pada pusingan kedua Kejohanan Skuasy Terbuka Britain, esok, selepas adiknya itu terkandas seawal pusingan pertama di The Rep Theatre, Birmingham, England, semalam.
Aifa yang menghuni ranking No. 37 dunia mengetepikan wakil tuan rumah, Torrie Malik yang beraksi di atas tiket ‘wild card’ 11-8, 8-11, 11-7, 11-6 dalam masa 41 minit pada pusingan pertama.
Bagaimanapun, hasrat Aifa untuk membalas dendam di atas kekalahannya di tangan Aira pada Terbuka Australia, baru-baru ini, tidak mampu direalisasikan selepas bekas naib juara remaja dunia itu tunduk kepada Fayrouz Aboelkheir dari Mesir 8-11, 11-8, 11-13, 5-11 dalam aksi yang berlanjutan lebih sejam itu.
“Saya tewas kepada Aira pada Terbuka Australia, jadi, saya memang mengintai peluang untuk bertemu dengan dia sekali lagi pada pusingan berikut.
“Namun, malangnya Aira kurang bernasib baik, saya rasa dia bermain baik (menentang Fayrouz), tetapi mungkin dia boleh cuba lagi lain kali,” kata Aifa ketika ditemu bual selepas perlawanan berakhir.
Pemain berusia 22 tahun itu berkata, dia tidak beraksi pada Terbuka Britain, tahun lalu dan hanya mampu menyaksikan rakan seperjuangannya bermain di dalam gelanggang kaca.
Mengulas mengenai persembahannya menentang Torrie, Aifa memberitahu, dia bermula dengan baik pada set pertama, tetapi, hilang keyakinan dalam set berikut yang menjadi punca kekalahannya.
“Setiap kali dia pukul bola ke atas, saya tidak dapat melihat dengan jelas kerana lampu terlalu terang, saya cuba fokus dan mengutip mata kemenangan.
“Saya suka berada di Birmingham, jurulatih saya, Andrew Cross berasal dari England dan saya rasa dia menyaksikan perlawanan saya,” ujar Aifa yang mengakui memiliki kenangan manis di peringkat remaja bermain di England.
Turut mengikut jejak langkah Aifa yang akan berdepan Fayrouz pada pusingan kedua, esok (awal pagi waktu Malaysia) ialah rakan senegara, Rachel Arnold yang menumpaskan Tong Tsz-Wing dari Hong Kong 11-7, 4-11, 9-11, 11-6, 11-7 dalam masa 43 minit.
Rachel bakal berdepan laluan sukar apabila dijadual bertemu pilihan kelima, Nour El Tayeb dari Mesir pada pusingan kedua.
Dua lagi wakil Malaysia iaitu pemain No. 10 dunia, S. Sivasangari bakal berdepan pilihan pertama, Nour El Sherbini dari Mesir, manakala, Ng Eain Yow menentang Aly Abou Eleinen juga dari Mesir pada pusingan kedua setelah kedua-dua mereka mendapat bye pada peringkat 32 terbaik.-UTUSAN