BEIJING: Seorang wanita China yang menjalinkan hubungan sulit dengan seorang ahli perniagaan sanggup menggunakan embrio beku semata-mata untuk membuktikan dirinya mengandung dan meninggalkan waris.
Modus operandi itu bertujuan membuktikan dirinya mengandungkan anak kepada lelaki yang maut akibat kemalangan jalan raya bagi mendapatkan harta warisan keluarga itu, lapor South China Morning Post.
Wanita bersal dari Guangdong bernama Leng itu bertindak memfailkan saman terhadap isteri kekasihnya untuk menuntut sebahagian daripada kekayaan bagi bayi lelakinya yang didakwa anak hasil hubungan sulit mereka berdua.
Kes yang mencetuskan perdebatan hangat di China itu bermula sejak 2021, tidak lama selepas kematian lelaki bernama Wen itu.
Leng mendakwa telah membekukan beberapa telurnya sebelum kemalangan itu, yang kemudiannya disenyawakan menggunakan sperma Wen di klinik kesuburan swasta.
Pada Disember 2021, dia melahirkan seorang bayi lelaki sihat yang dinamakan Xiaowen.
Pada Ogos tahun lalu, dia menyaman keluarga bekas kekasihnya dan menuntut sebahagian daripada harta pusaka mereka untuk anaknya.
Antara tuntutan itu adalah harta, saham ekuiti syarikat dan faedah insurans untuk Xiaowen sebagai waris Wen.
Bagaimanapun, wanita itu gagal membuktikan bayi lelaki itu telah disenyawakan oleh Wen, atau dia telah memberikan persetujuan untuk mengandung bayi itu menggunakan spermanya.
Akibatnya, tuntutan tersebut ditolak oleh mahkamah.
Kes itu menjadi paparan tajuk utama berita di China sehingga membuatkan ramai terkejut dengan cubaan wanita itu mempertaruhkan anak kecilnya sebagai usaha menuntut harta kekasihnya yang sudah mati.