Tentera Israel akui Gaza medan perang paling sukar di dunia

Tentera Israel akui Gaza medan perang paling sukar di dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Ketua jurucakap tentera Israel, Daniel Hagari menggambarkan Gaza sebagai salah satu medan perang paling sukar di dunia.

Bercakap pada persidangan Tel Aviv yang dihoskan oleh akhbar Yedioth Ahronoth kelmarin, Hagari mengakui perang Gaza merupakan cabaran terbesar yang pernah dilaluinya.

“Saya melihat cabaran terbesar dalam peranan saya sekarang. Ia sangat berbeza dan ia adalah melibatkan medan perang itu sendiri. Kami mengambil pelan operasi untuk perang dengan kelulusan ahli politik. 

“Dalam rancangan ini, kami memetakan perang yang dianggarkan kira-kira setahun pertempuran. Tahun ini, kami melihat bahawa kami pertama sekali akan berurusan dengan pusat kuasa terbesar Hamas, yang kebanyakannya di utara Gaza dan Khan Younis.

“Gaza mungkin salah satu medan perang paling sukar di dunia dari segi kepadatan penduduknya dan terowong yang digali Hamas di bawah tanah,” katanya menurut laporan laman web Berita Nasional Israel.

Menurut data tentera Israel, 614 pegawai dan askarnya terbunuh dengan lebih 3,362 lagi cedera sejak 7 Oktober tahun lalu.

Ditanya mengenai pencerobohan darat Rafah yang ditangguhkan sehingga minggu ini, Hagari berkata, syarat operasi yang diperlukan untuk melaksanakannya tidak wujud.

“Kami akan berurusan dengan Rafah menggunakan cara yang sesuai untuk kami. Saya ingin memberitahu orang ramai supaya mereka tidak menipu diri mereka sendiri.

“Walaupun selepas kita berurusan dengan Rafah, Hamas akan bergerak ke utara dan cuba untuk membentuk semula pasukannya termasuk dalam beberapa hari akan datang. 

“Di setiap tempat Hamas kembali, termasuk di utara dan tengah Gaza, kami juga akan kembali beroperasi,” katanya.

Tentera Israel mengeluarkan arahan pemindahan awal Isnin lalu untuk rakyat Palestin di kawasan kejiranan timur Rafah dan menyeru mereka untuk berpindah ke bandar Al-Mawasi di selatan Gaza. 

Kira-kira 100,000 rakyat Palestin yang tinggal di kawasan kejiranan timur Rafah terjejas akibat proses pemindahan itu.

Beliau turut mendakwa Rafah tidak sepenting Khan Younis dan utara Gaza yang sudah dihancurkan oleh tentera rejim Zionis itu.

Mengenai sekatan penghantaran senjata oleh pentadbiran Amerika Syarikat (AS) berikutan operasi besar-besaran tentera Israel di Rafah, Hagari mendakwa, dua sekutu itu menyelesaikan sebarang perselisihan faham di sebalik pintu tertutup.

“Saya menyifatkan penyelarasan antara Israel dan AS mencapai skop tanpa tindakan awal, dalam sejarah Israel,” katanya.

Selasa lalu, pentadbiran Presiden AS, Joe Biden mengesahkan sudah menghentikan penghantaran besar bom yang dikhuatiri mungkin digunakan oleh Israel di kawasan penduduk padat di Rafah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya