WASHINGTON: Seorang bekas pegawai perisikan tentera Amerika Syarikat (AS) mendedahkan punca sebenar dirinya meletakkan jawatan November lalu, kerana disebabkan ‘kecederaan moral’ yang dialami.
Situasi itu malah lebih memburuk apabila AS memberikan sokongan jelas terhadap perang Israel di Gaza sehingga menimbulkan kemudaratan kepada rakyat Palestin yang tidak berdosa, lapor Reuters.
Harrison Mann yang berpangkat mejar tentera menjadi pegawai Agensi Perisikan Pertahanan (DIA) pertama yang dilaporkan berhenti kerja kerana kecewa sokongan AS kepada Israel.
Mann berkata, dia mendiamkan diri selama berbulan-bulan kerana ketakutan mengenai tujuan sebenar dirinya meletakkan jawatan.
“Saya takut melanggar norma profesional kami. Takut mengecewakan pegawai yang saya hormati. Takut anda akan rasa dikhianati.
“Saya pasti segelintir daripada anda akan berasa begitu ketika membaca kenyataan ini,” tulis Mann dalam sepucuk surat yang dikongsi dengan rakan sekerja bulan lalu.
Mann kemudian memuat naik hantaran di profil LinkedInnya, pada Isnin.
Menurut Mann, dia berasa malu dan diselubungi rasa bersalah kerana membantu AS meneruskan dasarnya yang menyumbang kepada pembunuhan besar-besaran rakyat Palestin.
“Berikanlah apa-apa justifikasi sekalipun mengenai polisi yang dilaksanakan (AS-Israel). Saya tak sanggup melihat sejumlah besar kanak-kanak yang kebuluran akibat tidak mempunyai bekalan makanan,” luahnya.
Kes Mann berbeza dengan pegawai kerajaan AS lain, termasuk beberapa pegawai jabatan negeri yang secara terbuka mengecam dasar AS apabila meletakkan jawatan.
Man pula, menunggu beberapa bulan untuk menjelaskan motif sebenar peletakan jawatannya.
Bagaimanapun, DIA belum memberikan sebarang maklum balas mengenai perkara ini.