CIANJUR: Seorang lelaki berasa tertipu selepas mendapat tahu ‘wanita’ yang dinikahi rupanya adalah lelaki tulen di Kampung Wangunjaya, Kecamatan Naringgul, Cianjur, Jawa Barat.
Kebenaran itu terbongkar selepas pihak keluarga menyiasat latar belakang wanita itu, selepas berasa curiga dengan tingkah lakunya.
Foto pernikahan lelaki berusia 26 tahun itu bersama pasangannya tular dalam media sosial.
Ayah pengantin lelaki, Daud berkata, anaknya mengenali wanita itu melalui media sosial yang menggunakan nama samaran, Adinda Kenza hampir setahun lebih.
“Wanita itu selalu memakai pakaian menutup aurat dan bertudung.
“Anak saya menjalinkan hubungan selama beberapa bulan sebelum memutuskan untuk bernikah 12 April lalu, setelah memperkenalkan kepada ahli keluarga,” katanya.
Sementara itu, Ketua Kampung Wangunjaya, Jaelani mengesahkan kejadian tersebut.
Jelasnya, insiden berlaku akibat pihak keluarga kurang teliti sebelum menikahkan anak mereka.
“Pihak keluarga melaporkan kejadian tersebut berhubung penipuan terhadap anaknya oleh individu yang mengaku sebagai wanita.
“Wanita itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Naringgul. Namun, selepas berasa kesal mengetahui latar belakang dan kondisi keluarganya, kes itu tidak dipanjangkan ke mahkamah.
“Ini juga adalah kali pertama kes berkenaan berlaku di kampung ini,” katanya.