KUALA LUMPUR: Pasangan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai bakal berentap memburu slot ke final Kejohanan Badminton Malaysia Masters di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.
Pertembungan sesama sendiri itu di peringkat separuh akhir sekali gus mengesahkan wakil Malaysia akan berada di final.
Peluang untuk kedua-dua pasangan memburu tempat ke perlawanan akhir adalah seimbang kerana masing-masing memiliki kekuatan tersendiri.
Begitupun, rekod pertemuan lebih memihak kepada Soon Huat-Shevon dengan keputusan 2-1, di mana kemenangan terakhir dicatat pasangan itu ke atas Tang Jie-Ee Wei pada Terbuka Switzerland.
Pada suku akhir, semalam, gandingan No. 9 dunia, Tang Jie-Ee Wei melakar kemenangan straight set ke atas Tan Kian Meng-Lai Pei Jing 21-19, 21-14 dalam masa 39 minit.
Pasangan pengantin baharu yang menghuni ranking ke-18 dunia, Soon Huat-Shevon pula menundukkan beregu No. 21 dunia dari Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati 12-21, 21-17, 21-17 dalam masa 1 jam 10 minit.
Shevon berkata, dia dan Soon Huat sudah beberapa kali bertemu Tang Jie-Ee Wei dan yang terbaharu ialah pada Terbuka Switzerland, baru-baru ini yang menyaksikan mereka menewaskan pilihan pertama itu.
“Setiap permainan merupakan pertandingan yang sukar. Kali terakhir kami lawan mereka di Switzerland walaupun kami menang, tetapi, pertemuan kali ini tidak akan sama.
“Persekitaran gelanggang juga tak sama, saya rasa kami berdua akan buat yang terbaik, siapa-siapa yang menang pun Malaysia tetap ada wakil masuk ke final,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan berakhir, semalam.
Pemain berusia 31 tahun itu memberitahu, menyaksikan beregu campuran Malaysia mara sehingga ke separuh akhir pada Malaysia Masters merupakan satu perkembangan yang positif.
Jelasnya, untuk separuh akhir, hari ini, sesiapa sahaja yang mempamerkan persembahan lebih baik dan stabil berpeluang mara ke perlawanan akhir.
“Saya rasa pengalaman kami mungkin ada lebih sikit berbanding Tang Jie-Ee Wei, tetapi, mereka merupakan pasangan muda,” ujarnya.
Soon Huat pula berpendapat, Tang Jie dan Ee Wei memiliki kelebihan dari segi kelajuan serta kekuatan dalam permainan mereka, manakala, dia dan Shevon mempunyai pengalaman yang boleh dijadikan sebagai senjata.
Bagaimanapun, sedikit kebimbangan melanda Soon Huat yang ditimpa kecederaan pengelangan tangan dan pinggul kanan ketika beraksi menentang Rehan-Lisa.-UTUSAN