PORT MORESBY: Pihak berkuasa melahirkan kebimbangan mengenai risiko berlaku tanah runtuh kedua dan penularan wabak penyakit di lokasi bencana di Papua New Guinea kerana aliran air dan mayat terperangkap di bawah runtuhan tanah.
Ketua Misi Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi di Papua New Guinea, Serhan Aktoprak berkata, gelongsoran batu, tanah dan pokok memusnahkan Yambali di tanah tinggi yang terpencil apabila gunung batu kapur runtuh, Jumaat lalu.
Insiden tanah runtuh berskala besar yang melanda penduduk kampung di negara itu ibarat ‘bom jangka’ kerana dikhuariti menyebabkan lebih 2,000 orang tertimbus dalam tanah hidup-hidup.
Angka yang direkodkan oleh Pemangku Pengarah Pusat Bencana Negara adalah jauh lebih tinggi berbanding jumlah yang dilaporkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebanyak 670 mangsa, minggu lalu.
Bagaimanapun, jumlah kematian sebenar akibat bencana alam yang berlaku awal pagi Jumaat lalu belum dapat disahkan secara rasmi.
Usaha menyelamatkan mangsa atau mengeluarkan mayat dari runtuhan berdepan cabaran besar apabila dihalang oleh runtuhan sedalam 10 meter di beberapa tempat serta kekurangan peralatan mencukupi.
Seorang guru sekolah dari kampung bersebelahan, Jacob Sowai berkata, tiada sesiapa dapat melarikan diri daripada bencana itu.
“Kami tidak tahu siapa yang mati sebab ramai sudah tertimbus,” katanya kepada AFP.
Evit Kambu pula hampir tidak berdaya kerana 18 ahli keluarganya tertimbus di dalam tanah di tempatnya berdiri.
Dilaporkan, seramai 3,800 penduduk tinggal di kampung Kaokalam di wilayah Enga, kira-kira 600 kilometer (km) barat laut ibu negara Port Moresby.-BBC