Raja Puan Muda Perlis santuni penduduk - Utusan Malaysia

Raja Puan Muda Perlis santuni penduduk

TUANKU Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Hannah Yeoh mengacau dodol warisan tradisi di Kampung Nelayan Warna-warni Seberang Ramai, Kuala Perlis semalam.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menyantuni komuniti penduduk setempat bersempena lawatan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ke Projek Tranformasi Diraja Kampung Nelayan Warna-warni Seberang Ramai di sini semalam.

Lawatan berkenaan adalah bersempena program Jelajah Mesra Komuniti (JMK) anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang mensasarkan penglibatan komuniti melalui lawatan dan aktiviti kemasyarakatan.

Keberangkatan Raja Puan Muda Perlis disambut Hannah dan Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Belia, Jabatan Belia dan Sukan, Dr. Zainah Shariff.

Program dimulakan dengan taklimat oleh Ketua Bahagian Pengurusan Zakat MAIPs, Syed Aisam Syed Idris Al-Habshe dan lawatan ke beberapa lokasi menarik di kampung berkenaan.

Antara lokasi yang dilawati adalah Laman Bunga Kertas, Laman Laksa, Jambatan Tuanku Syed Putra, Anjung Persinggahan Raja, Laman Bunga Raya dan Rumah Sihat.

Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen dan Hannah turut melaksanakan beberapa aktiviti bersama masyarakat setempat seperti dekorasi laksa Kuala Perlis, permainan tradisional ‘tok jengkek’, senam tari canggung dan mengacau dodol warisan tradisi.

Dalam ucapan Hannah, beliau menzahirkan kekaguman atas limpah perkenan Raja Puan Muda Perlis berangkat menyantuni rakyat selain turut komited untuk mempromosikan aktiviti sukan dan pemerkasaan belia di Kampung Warna-warni yang semakin popular sebagai destinasi pelancongan baru menarik di Perlis.

Dalam masa sama, Hannah turut meluluskan sumbangan tambahan beberapa peralatan sukan dan kecergasan di Kampung Warna-Warni Seberang Ramai seperti set tiang gol, jaring dan kerusi kecergasan.

Kampung Warna-warni Seberang Ramai adalah merupakan perkampungan nelayan paling utara Malaysia yang telah menjalani program transformasi komuniti secara holistik, digerakkan MAIPs dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan swasta serta individu bermula tahun 2020.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN