IPOH: New Zealand kembali meraihkan kemenangan selepas mengalami kemerosotan prestasi pada dua perlawanan sebelum ini di Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2024.
Kebangkitan itu dilakukan dengan menewaskan Korea Selatan 4-1 pada perlawanan keempat yang terpaksa ditangguh selama satu jam, 40 minit daripada waktu permulaan sebenar ekoran hujan lebat.
Black Sticks sebelum ini mengalami dua kekalahan berturut-turut ditangan Jepun 4-1 dan Malaysia 6-4 walaupun memulakan kempen PSAS dengan membelasah Kanada 7-1.
Misi memburu kemenangan berkenaan dimulakan seawal minit keempat menerusi gol padang George Baker.
Selepas itu, dua lagi gol berjaya diperolehi New Zealand menerusi Jonty Elmes pada minit ke-18 hasil gol padang, disusuli ledakan Jake Smith lima minit kemudian apabila menyempurnakan pukulan penalti stroke sekali gus memastikan pasukan di kedudukan ke-10 dunia itu selesa mendahului 3-0 pada babak pertama.
Bermula suku ketiga, Korea Selatan akhirnya berjaya mendapatkan gol pertama pada minit ke-39 menerusi jaringan Sim Jaewon hasil pukulan sudut penalti.
Tersentak dengan gol itu, jentera serangan New Zealand kembali mengasak benteng Korea Selatan dan hasilnya Isaac Houlbrooke meledak gol keempat buat pasukannya apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti di minit ke-53.
Aksi berbalas serangan antara New Zealand dan pasukan di ranking ke-11 dunia itu terus berlangsung sehingga penghujung permainan namun tiada gol mampu dijelmakan oleh kedua-dua pasukan.
Selepas ini New Zealand bakal mengakhiri aksi sepusingan PSAS edisi ke-30 menentang Pakistan manakala Korea Selatan bertembung dengan Malaysia, Jumaat ini.-UTUSAN