PSAS: Korea Selatan raih kemenangan pertama

PSAS: Korea Selatan raih kemenangan pertama

PEMAIN Kanada, Matthew Sarmento cuba mengejar pemain Korea Selatan pada aksi penentuan tempat kelima dan keenam melibatkan kedua-dua pasukan di Stadium Azlan Shah, sebentar tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Selepas tewas dalam dua perlawanan pertama Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2024, Korea Selatan akhirnya merasai nikmat kemenangan di kejohanan edisi ke-30 itu.

Bagaimanapun, kemenangan itu tidak diperolehi dengan mudah, sehingga memaksa skuad kendalian Min Taeseok bekerja keras untuk menundukkan pasukan di ranking ke-19 dunia, Kanada 1-0 pada aksi di Stadium Azlan Shah, sebentar tadi.

Gol tunggal itu dijaringkan oleh Oh Seyong menerusi gol padang pada minit ke-13 namun suku kedua terpaksa bermula lewat ekoran hujan lebat selama 10 minit.

Jaringan berkenaan membolehkan pemain berusia 28 tahun itu memenangi Anugerah Pemain Terbaik perlawanan.

Keputusan itu juga membolehkan pasukan di kedudukan ke-11 dunia itu meraih tiga mata pertama selepas tewas dalam dua perlawanan awal kepada Jepun 1-2 dan dibelasah Pakistan 4-0.

Untuk rekod, pertemuan terakhir kedua-dua pasukan adalah pada Piala Negara-Negara 2022 di Potchefstroom, Afrika Selatan dan kemenangan memihak kepada Korea Selatan 6-2.

Daripada 12 pertemuan antara kedua-dua pasukan, Korea Selatan memenangi sembilan sejak Sukan Olimpik Seoul 1988 manakala tiga perlawanan lain berakhir dengan keputusan seri.

Perlawanan antara kedua-dua pasukan juga berlangsung seimbang apabila masing-masing mencipta peluang dengan Kanada memperolehi tiga pukulan sudut penalti manakala Korea Selatan hanya mendapat satu.

Kekalahan itu bagaimanapun sukar diterima ketua jurulatih Kanada, Patrick Tshutshani yang kurang berpuas hati dengan prestasi permainan pemain-pemainnya.

“Saya tidak gembira dengan sikap pemain kerana melepaskan gol awal dan tidak mahu menyerang mencari gol walaupun ada peluang untuk melakukan.

“Benar kami pasukan baharu dan masih belajar tetapi apa yang dilakukan mereka hari ini tidak menggembirakan saya. Mereka sepatutnya lebih bersemangat untuk bermain, kita dapat tiga pukulan sudut penalti tetapi gagal menyempurnakannya,” katanya dalam sidang media, hari ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya