IPOH: Jepun menjadi ‘batu penghalang’ kepada impian Speedy Tigers untuk mara ke final buat kali kedua dan mempertahankan kejuaraan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS).
Ia berikutan kekalahan 1-2 Malaysia kepada Jepun pada aksi keempat kejohanan yang memasuki edisi ke-30.
Keputusan itu menyaksikan skuad hoki negara hanya berpeluang bermain di penentuan tempat ketiga dan keempat, dengan syarat mereka perlu menang ke atas Korea Selatan pada aksi terakhir Jumaat ini.
Pada perlawanan di Stadium Azlan Shah, Malaysia hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-23 namun percubaan Faizal Saari berjaya dinafikan Takashi Yoshikawa.
Seminit kemudian, menerusi satu serangan balas pantas direncana Jepun, mereka berjaya menghasilkan gol pertama buat skuad Samurai hasil gol padang diledak oleh Kazumasa Matsumoto untuk mereka mendahului 1-0 pada babak pertama.
Memasuki suku ketiga, Speedy Tiger meningkatkan intensiti permainan dengan melakukan serangan bertali-arus ke gawang Jepun.
Tekanan demi tekanan dilakukan anak buah Sarjit Singh, akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-31 hasil pukulan kilas kencang dilakukan Faizal untuk menyamakan kedudukan.
Namun, Jepun kembali didepan pada minit ke-50 hasil gol padang dijaringkan Ryoma Ooka.
Tersentak dengan gol itu, jentera serangan Malaysia mengatur serangan berterusan menekan benteng pertahanan Jepun sehingga memperolehi empat pukulan sudut penalti berturut-turut pada lima minit terakhir perlawanan namun ia gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan.
Aksi cemerlang penjaga gol Jepun, Takashi Yoshikawa dalam perlawanan itu membolehkan dia dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan.
Untuk rekod, pertemuan terakhir melibatkan kedua-dua pasukan pada tahun 2022 di kejohanan itu, menyaksikan Malaysia menewaskan Jepun 4-2.
Ketua jurulatih hoki negara, Sarjit Singh mengakui sepatutnya mereka mampu mengubah keputusan perlawanan berdasarkan peluang-peluang yang dicipta terutama pada suku keempat.
“Peluang dicipta pada suku ketiga dan keempat sebenarnya cukup untuk kita kembali berada dalam permainan atau menjaringkan gol tetapi ia tidak berlaku dan keputusan ini perlu kita terima,” katanya ketika sidang media selepas perlawanan.-UTUSAN