PSAS: Jepun ada 'ramuan' perangkap Pakistan

PSAS: Jepun ada ‘ramuan’ perangkap Pakistan

PEMAIN-Pemain Jepun meraikan jaringan kedua ketika menentang Kanada pada aksi kelima pusingan round robin Piala Sultan Azlan Shah, malam tadi.-UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Jepun mara ke final Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) dengan motivasi tinggi selepas mencatat kemenangan bergaya 3-1 ke atas Kanada pada aksi terakhir pusingan round robin Piala Sultan Azlan Shah (PSAS), sebentar tadi.

Skuad Samurai yang membuat penampilan kali pertama di pentas akhir sejak penganjuran kejohanan itu pada tahun 1983, memiliki percaturan terbaik untuk mengecewakan Pakistan sekali gus muncul juara di edisi ke-30.

Ketua jurulatihnya, Yoshihiro Anai berkata masih banyak kerja rumah yang perlu dilakukan bagi memastikan anak buahnya mampu menewaskan Pakistan.

Tegasnya, taktikal bertahan akan kekal diterapkannya kerana mengakui bahawa semua pemain dalam pasukan Pakistan memiliki kemahiran tinggi dan berbahaya jika tidak diberi perhatian.

“Kami masih perlu melakukan beberapa kerja rumah untuk mencari cara untuk menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti dan gol padang apabila berdepan Pakistan.

“Jika anda melihat corak permainan kami ketika menentang Kanada, kami masih mengekalkan rentak permainan kami tetapi apabila berdepan Pakistan esok kami perlu meningkatkannya lagi kerana ia bakal menjadi satu perlawanan yang berintensiti tinggi.

“Kami akan kekal dengan corak bertahan. Pakistan memiliki pemain yang cukup berkemahiran tinggi dan ia dapat dilihat ketika kami seri 1-1 menentang mereka. Semua pemain sangat berbahaya tidak hanya beberapa sahaja.

“Untuk itu saya akan fikirkan pelan terbaik untuk aksi final esok dan cuba memenangi perlawanan itu,” katanya.


KAPTEN Kanada, Matthew Sarmento melakukan hantaran ke hadapan kepada rakan sepasukannya meskipun cuba dicabar pemain Jepun.-UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

Pada aksi itu, Kanada membuka tirai jaringan pada minit ke-42 melalui ledakan gol padang oleh Sean Davis yang bijak memanfaatkan peluang ketika berdepan situasi satu lawan satu dengan penjaga gol Jepun, Takumi Kitagawa.

Namun, Jepun pantas bangkit menyamakan kedudukan seminit kemudian hasil gol padang dijaringkan oleh Hiro Saito dan Tsubasa Tanaka menggandakan gol kedua buat skuad Samurai pada minit ke-56 untuk mendahului perlawanan.

Jepun sekali lagi merobek gawang Kanada dan kali ini menerusi pukulan deras Kosei Kawabe pada minit terakhir perlawanan untuk memberi kemenangan bergaya buat skuad Samurai.

Untuk rekod, Kanada menjadi satu-satunya pasukan yang tewas dalam kesemua lima perlawanan pusingan round robin PSAS 2024, namun skuad kendalian Patrick Tshutshani menunjukkan peningkatan prestasi daripada satu perlawanan ke satu perlawanan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya