IPOH: Jepun berjaya melakar kemenangan ke atas seterunya Korea Selatan menerusi keputusan 2-1 pada aksi pertama Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2024 di Stadium Azlan Shah, sebentar tadi.
Turun dengan misi mencipta kemenangan pertama, Tsubasa Tanaka meletakkan Jepun mendahului pada minit ke-13 menerusi gol padang.
Anak buah Yosuke Matsumura menggandakan jaringan pada minit ke-20 selepas Shota Yamada menyempurnakan pukulan sudut penalti.
Memasuki suku keempat, Korea Selatan berjaya memperolehi pukulan sudut penalti pertama namun gagal disudahkan oleh Lim Dohyun pada minit ke-46.
Sikap tidak berputus asa Korea Selatan mencari gol akhirnya berhasil menerusi ledakan Dohyun yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-52 namun usaha memungut sekurang-kurangnya satu mata tidak berjaya.
Aksi terakhir pertembungan kedua-dua pasukan adalah di Kejohanan Hoki Hero Trofi Juara-Juara Asia, Chennai, India yang menyaksikan Jepun mencatat kemenangan 5-3 ke atas Korea Selatan.
Esok, Korea Selatan yang berada di ranking ke-11 dunia akan menentang Pakistan manakala Jepun ditangga ke-16 dunia berdepan New Zealand.-UTUSAN