LONDON: Manchester United berjaya menutup musim ini dengan satu piala apabila mencatat kemenangan 2-1 ke atas Manchester City pada final Piala FA di Stadium Wembley, sebentar tadi.
Kemenangan diraih United hasil bantuan dua gol daripada pemain berusia 19 tahun iaitu Alejandro Garnacho dan Kobbie Mainoo.
Keputusan itu pastinya memberi peluang kepada pengurus United, Erik ten Hag untuk kekal di Old Trafford meskipun dilaporkan bakal dipecat oleh kelab tersebut walaupun berjaya memenangi Piala FA.
Dalam masa sama, kemenangan itu juga memadam impian musuh tetangga, City untuk melakar sejarah dengan menjadi satu-satunya kelab Inggeris meraih kejuaraan berganda dalam dua musim berturut-turut selepas menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali keempat berturut-turut hujung minggu lalu.
Tahun lalu, City menundukkan United 2-1 pada final dalam laluan untuk melakar catatan mengagumkan treble yang termasuk kegemilangan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Juara-Juara.
Pada aksi di Wembley, United yang menamatkan saingan EPL di tangga kelapan mempamerkan aksi ‘luar biasa’ dengan memberi tentangan sengit kepada City.
Pemain berusia 19 tahun, Garnacho meletakkan United didepan pada minit ke-30, disusuli ledakan Kobbie Mainoo sembilan minit kemudian untuk memastikan pasukan itu selesa mendahului 2-0 pada babak pertama.
Kebangkitan yang cuba dijelmakan City bagaimanapun telah terlambat selepas hanya mampu merobek gawang United pada minit ke-87 menerusi ledakan pemain gantian Jeremy Doku.
Kejayaan United memenangi Piala FA tahun ini menambah koleksi trofi mereka kepada 13 dan hanya berbeza satu piala dengan Arsenal yang masih memegang rekod sebagai pasukan terbanyak memenangi kejuaraan berkenaan.-AGENSI