Petanda positif Zii Jia ke Malaysia Masters dan Paris

Petanda positif Zii Jia ke Malaysia Masters dan Paris

LEE Zii Jia bersama trofi selepas menjuarai acara perseorangan Terbuka Thailand, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kejayaan pemain badminton perseorangan No. 1 negara, Lee Zii Jia merangkul gelaran sulungnya, musim ini, selepas muncul juara pada Terbuka Thailand, semalam memberi petanda positif menjelang Sukan Olimpik 2024 di Paris, Julai ini.

Anak jati Kedah yang menghuni ranking No. 10 dunia itu membenam pemain berpengalaman Hong Kong, Angus Ng Ka Long 21-11, 21-10 dalam masa 34 minit pada perlawanan akhir di Bangkok.

Selaku juara, Zii Jia membawa pulang wang tunai sebanyak AS$31,500 (RM147,671) beserta pingat emas dan piala.

“Ini salah satu persembahan terbaik saya, saya rasa setakat ini, saya masih mencari-cari prestasi terbaik saya dan Terbuka Thailand salah satu daripadanya.

“Saya harap dapat kekalkan keyakinan dan momentum ini untuk kejohanan selepas ini juga. Saya juga harap dapat mencatat keputusan yang baik di tanah air saya sendiri, minggu depan.

“Hari ini (semalam), saya menikmati perlawanan tadi, dan setiap kutipan mata saya sangat fokus yang mana kadang kala ia sukar untuk diperoleh dalam setiap perlawanan.

“Untuk Malaysia Masters, tak banyak masa untuk saya, mungkin saya akan pulang malam ini (semalam) dan harap saya dapat berehat secukupnya. Saya harap semua perkara positif ini akan berterusan sehingga minggu depan terutama saya beraksi di laman sendiri, ” kata Zii Jia kepada Spotv selepas perlawanan berakhir.

Zii Jia sebelum ini ada menyuarakan keyakinannya untuk membantu Kontinjen Malaysia memburu pingat emas pertama pada temasya terbesar dunia itu.

Justeru, dengan kejayaannya menjulang gelaran Terbuka Thailand meletakkan anak muda berusia 26 tahun itu di landasan tepat dalam persediaannya ke Paris.

Zii Jia yang merangkul gelaran keduanya pada Terbuka Thailand selepas kali terakhir berbuat demikian pada 2022, turut memberi petanda positif menjelang Malaysia Masters yang bermula, Selasa ini.

Pemain yang mendapat bimbingan daripada jurulatih Wong Tat Meng belum pernah menjulang sebarang kejuaraan Jelajah Dunia di tanah air sendiri berpeluang berbuat demikian dengan prestasi baik yang dipamerkannya pada ketika ini.

Kemenangan itu juga menyaksikan Zii Jia kini menyamakan rekod pertemuan dengan Angus kepada 4-4 dan juga kejayaan ketiga berturut-turut ke atas pencabar berusia 30 tahun itu.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya