NEW YORK: Berang dengan keputusan mahkamah yang tidak memihak, penyokong bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bersiap sedia untuk melancarkan rusuhan, revolusi dan aksi ganas.
Selepas Trump menjadi Presiden AS pertama yang disabitkan atas kesalahan jenayah, penyokong tegarnya bertindak balas dengan memuat naik hantaran ganas dalam talian di tiga laman web iaitu Truth Social, Patriots. Win dan Gateway Pundit.
Ada penyokong yang menggesa untuk melancarkan serangan terhadap barisan juri dan hakim Juan Merchan atau perang saudara secara terang-terangan dan pemberontakan bersenjata.
“Mudah-mudahan Merchan bertemu dengan pendatang asing tanpa izin dengan sebilah parang,” tulis pengguna media sosial.
Di laman sesawang Gateway Pundit, sebuah poster yang dimuat naik mencadangkan supaya puak liberal ditembak selepas keputusan mahkamah itu.
Hari ini, seramai 12 panel juri di New York sepakat dalam keputusan untuk mensabitkan Trump bersalah terhadap 34 pertuduhan.
Trump didapati bersalah memalsukan rekod bayaran rahsia kepada aktres filem lucah, Stormy Daniels sebelum pilihan raya 2016 diadakan. Bayaran itu dibuat bagi menutup mulut Daniels mengenai hubungan sulit mereka.
Namun, setakat ini belum pasti sama ada beliau akan menghabiskan masa dalam tahun 2025 di White House, atau meringkuk di dalam penjara atau diletakkan dalam tempoh pengawasan.
Hukuman terhadap bilionair itu akan diputuskan pada 11 Julai ini.-REUTERS