Pearly-Thinaah mara ke separuh akhir, dua beregu lelaki tersingkir

Pearly-Thinaah mara ke separuh akhir, dua beregu lelaki tersingkir

BEREGU wanita No. 1 Malaysia, Pearly Tan-M. Thinaah meraikan kejayaan mara ke separuh akhir Badminton Malaysia Masters 2024 di Stadium Axiata Arena, di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kemaraan beregu wanita No. 1 Malaysia, Pearly Tan-M. Thinaah ke separuh akhir, gagal diikuti dua beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani yang terkandas di peringkat lapan terbaik pada Kejohanan Badminton Malaysia Masters di sini, hari ini.

Pasangan No. 13 dunia, Pearly-Thinaah yang juga pilihan kedua menewaskan Setyana Mapasa-Angela Yu dari Australia 21-16, 21-8 dalam perlawanan yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Bagaimanapun, kegembiraan Pearly-Thinaah gagal dikongsi gandingan No. 4 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang dikejutkan pasangan ke-34 dunia, Jin Yong-Na Sung Seung dari Korea Selatan 21-11, 19-21, 19-21.

Beregu No. 14 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani turut ditimpa nasib serupa dengan Aaron-Wooi Yik apabila mereka gagal menandingi kehebatan pasangan No. 5 dunia, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark 19-21, 17-21 dalam masa 48 minit.

Untuk Pearly-Thinaah, pada separuh akhir, esok mereka bakal berdepan pasangan Korea Selatan, Lee Yu Lim-Shin Seung Chan yang menewaskan Keng Shu Liang-Zhang Chi dari China 21-17, 21-14 dalam satu lagi suku akhir.

Pearly ketika ditemui pemberita berkata, berdepan dengan Setyana dan Angela tidak mudah kerana pasangan Australia itu telah banyak mengejutkan beregu handalan dunia sebelum ini.

“Jadi, kami memang sudah bersedia untuk berdepan dengan mereka, saya gembira dapat menang hari ini, saya harap kami akan kekal konsisten dan dapat kekalkan momentum untuk perlawanan separuh akhir nanti,” katanya.

Thinaah pula menambah, jika dibandingkan dengan persembahan, semalam, permainan, hari ini, lebih baik dan sudah tentu perjuangan itu tidak akan terhenti setakat suku akhir kerana esok ada misi lebih besar menanti mereka.

“Kami akan berehat secukupnya malam ini dan esok, fokus kami kepada separuh akhir pula, saya berharap rentak permainan kami akan lebih baik berdepan beregu Korea Selatan,” ujarnya.

Bagaimanapun, Pearly-Thinaah tidak bersendirian mara ke separuh akhir kerana satu lagi beregu lelaki, Arif Junaidi-Yap Roy King dan dua beregu campuran iaitu Chen Tang Jie-Toh Ee Wei serta Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai turut berjuang memburu tempat ke final. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya