ISLAMABAD: Pejabat Meteorologi merekodkan peningkatan suhu melebihi 52 darjah Celcius di wilayah Sindh di selatan Pakistan, iaitu bacaan tertinggi sepanjang musim panas ini.
Bacaan itu menghampiri paras tertiggi suhu di kawasan bandar dan ibu negara, iaitu masing masing 53.5 dan 54 darjah Celcius, lapor Reuters.
Pegawai Kanan Meteorologi Pakistan, Shahid Abbas berkata, suhu meningkat setinggi 52.2 darjah Celcius dalam tempoh 24 jam di Mohenjo Daro iaitu sebuah bandar di Sindh yang terkenal dengan tapak arkeologi sejak zaman Tamadun Lembah Indus.
Mohenjo Daro adalah sebuah bandar kecil yang dilanda musim panas yang sangat terik dan musim sejuk yang sederhana serta taburan hujan yang rendah.
Pemilik warung teh di bandar itu, Wajid Ali, 32, mengeluh kerana cuaca panas menyebabkan hampir tiada pelanggan di kedainya.
“Pelanggan tidak datang ke restoran kerana suhu panas melampau. Kedai saya kosong tanpa pelanggan yang kelihatan hanya meja dan kerusi.
“Panas membuatkan kami rasa sangat tidak selesa. Saya pun mandi beberapa kali sehari supaya dapat dapat memberikan sedikit kelegaan,” katanya.
Penduduk lebih suka tinggal di rumah atau berhampiran sumber air untuk menyesuaikan diri ketika hidup dalam cuaca panas terik.
Suhu tertinggi yang direkodkan di Pakistan adalah pada 2017 apabila suhu meningkat 54 darjah Celsius di bandar Turbat di wilayah barat daya Balochistan.