GAZA: Seorang doktor warga Palestin dilaporkan meninggal dunia selepas ditahan selama lebih empat bulan dalam penjara Israel.
Mangsa ialah Dr. Adnan Al-Bursh, 50, yang merupakan Ketua Jabatan Ortopedik di Hospital Al-Shifa, lapor BBC.
Perkhidmatan Penjara Israel mengesahkan kenyataan yang disiarkan pada 19 April lalu, mengenai banduan yang ditahan atas alasan keselamatan negara yang maut dalam penjara berkenaan.
Tiada maklumat lengkap mengenai punca kematian dan pihak penjara hanya memaklumkan insiden tersebut masih dalam siasatan.
Kumpulan Advokasi Tahanan Palestin berkata, kematian Dr. Adnan adalah satu ‘pembunuhan’ dan mayatnya masih berada dalam simpanan pihak Israel.
Dr. Adnan bertugas di fasiliti perubatan terbesar di Gaza yang diserbu beberapa kali oleh tentera Israel.
Semasa ditahan oleh tentera Israel, beliau bekerja sementara di Hospital Al-Awada di utara Gaza.
Rakan sekerja menzahirkan simpati mendalam terhadap pakar berdah itu dan menyifatkan arwah sebagai ‘hero’.
Pengarah Hospital Al-Shifa, Dr. Marwan Abu Saada berkata, berita kematian itu sukar ditanggung oleh jiwa manusia.
Rakan sekerja lain, Dr. Suhail Matar menggelarkan arwah sebagai ‘injap keselamatan’ untuk setiap Jabatan Ortopedik di semua hospital Gaza.
“Jarang sekali anda akan dapat bertemu dengan individu sepertinya kerana doktor ini bekerja dengan penuh dedikasi dan pernah melakukan usaha luar biasa dengan mengorbankan dirinya sendiri,” jelasnya. -BBC