TEL AVIV: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berikrar negara itu boleh ‘berdikari’ selepas Amerika Syarikat (AS) memberi amaran untuk menghentikan bekalan persenjataan sekiranya serangan di Rafah dilancarkan.
Netanyahu dengan nada angkuh tidak mempedulikan langsung amaran AS, bahkan dengan mendabik dada akan menyerang bandar di selatan Gaza itu.
“Kalau kami perlu..kami akan berdiri sendiri. Saya sudah cakap jika perlu, kami akan bertarung dengan jari sendiri,” katanya lapor BBC.
Netanyahu turut mengimbas perang 1948 ketika negara Israel yang baru dibentuk diserang oleh gabungan negara Arab.
“Semasa Perang Kemerdekaan 76 tahun lalu, bilangan kita hanya sedikit berbanding mereka yang lebih ramai.
“Kami tidak mempunyai senjata. Ada embargo senjata terhadap Israel, tetapi dengan semangat yang kuat, sifat kepahlawanan dan kesatuan, akhirnya kita menang,” katanya.