KALIMANTAN: Seorang murid berusia 13 tahun tergamak menikam gurunya sampai mati di sebuah pondok pesantren di Danau Rangas, Palangkaraya, Kalimantan Tengah.
Lapor Tribunnews, suspek yang dikenali sebagai Fa melakukan jenayah tersebut terhadap mangsa berusia 35 tahun, pada pukul 11 malam, Selasa lalu.
Ketua Polis Palangkaraya, Budi Sentosa berkata, sebelum kejadian, suspek tidur di sebuah masjid di pesantren tersebut.
Katanya, Fa kemudian bangun dan terus menuju ke kediaman mangsa yang berada di kawasan sama.
“Suspek memasuki rumah mangsa melalui tingkap yang tidak berkunci dan mengambil pisau di dapur.
“Mangsa yang ketika itu sedang tidur ditikam oleh suspek di bahagian muka sebanyak lapan kali dan satu tikaman di dada,” katanya.
Menurut Budi, mangsa sempat menjerit meminta pertolongan sehingga teriakan itu didengari oleh seorang guru lain di pesantren itu.
Mangsa ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dan dibawa ke Hospital Bentang Pambelum.
Bagaimanapun, mangsa gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia akibat terlalu banyak pendarahan.
Mengulas mengenai motif serangan, Budi berkata, suspek mengaku dirinya seperti dirasuk akibat dendam kesumat.
“Suspek juga beritahu aksi kejam itu disebabkan dendam yang sudah lama terpendam.
“Pelaku seperti dirasuk sehingga membuatkan dia tidak sedar akibat masalah dendam lama,” katanya.