PETALING JAYA: Pemain badminton perseorangan No. 1 negara, Lee Zii Jia merangkul gelaran sulungnya, musim ini, selepas muncul juara pada Terbuka Thailand di Bangkok, Thailand, sebentar tadi.
Anak jati Kedah yang menghuni ranking No. 10 dunia itu membenam pemain berpengalaman Hong Kong, Angus Ng Ka Long 21-11, 21-10 dalam masa 34 minit.
Selaku juara, Zii Jia membawa pulang wang tunai sebanyak AS$31,500 (RM147,671) beserta pingat emas dan piala.
Kali terakhir Zii Jia menjulang gelaran dalam Jelajah Dunia ialah pada Terbuka Arctic, tahun lalu selepas dia menundukkan rakan senegara, Ng Tze Yong dalam perlawanan akhir.