‘Kalau 24 jam tak tidur, nak hafal skrip pun otak tak berfungsi’ - Utusan Malaysia

‘Kalau 24 jam tak tidur, nak hafal skrip pun otak tak berfungsi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TROFI pelakon lelaki terbaik sudah dirangkul beberapa kali oleh aktor, Shaheizy Sam. Lantas, tidak janggal jika kita menyenaraikan dia dalam 10 pelakon lelaki terbaik yang ada dalam industri seni tempatan.

Tidak keterlaluan juga jika dia bersuara mengenai masalah yang mungkin menjadi barah dalam sektor pekerjaan tersebut.

Dia ada pandangan, pendapat dan akal sendiri berkenaan pelbagai isu berbangkit. Sebagai contoh, kerja lebih masa.

Di kala ini segelintir pemain industri seni sudah mula menyuarakan keluhan seolah-olah diperlakukan sebagai kuli di set penggambaran. Kerja melebihi 12 jam.

Malah, timbul dakwaan ada produksi yang tidak cakna dengan hak pekerja dan ‘melenjan’ kru produksi termasuk pelakon sehingga hampir 20 jam. Gila!

Jawablah mendapatkan Shaheizy Sam, benarkah dakwaan tersebut? Pernahkah dia menghadapi situasi itu? Apa solusinya? Sam, Jawablah!

Terus kepada soalan, Sam sedia maklum tentang keluhan dan pendedahan segelintir kru produksi termasuk pelakon sendiri yang mahu had masa bekerja ditetapkan. Ada yang mengadu bekerja sehingga 20 jam sehari. Komen Sam?

Sebenarnya sudah lama saya menyuarakan saranan untuk bekerja dalam had masa tertentu. Saya sendiri mempunyai permintaan peribadi untuk bekerja 12 jam sahaja sehari. Itu bukan satu demand.

Kena ingat, pelakon menggunakan mental dan fizikalnya. Emosi kami juga dikerah untuk 12 jam. Badan kami juga tahu penat. Penggambaran tidak akan berjalan lancar jika badan sudah sampai limit.

Sebab itu, saya sudah letakkan siapsiap dalam kontrak, beberapa permintaan khas antaranya bekerja 12 jam sahaja. Memang itu adalah kriteria utama yang perlu dibincangkan sebelum saya bersetuju.

Apabila Sam meletakkan syarat, adakah timbul isu berbangkit? Mungkin ada pihak beranggapan Sam naik lemak?

Saya kena buat begitu dan saya sarankan, kepada penggiat seni lain juga meletakkan syarat mengikut had masa anda bekerja.

Kalau kita sambil lewa, ada pihak yang mungkin suka ambil kesempatan. Tiada persediaan sebelum masuk set penggambaran. Bila sudah mahu mula penggambaran, baru nak fikir babak bagaimana dan sebagainya.

Dari 12 jam boleh jadi sehingga 24 jam, macam mana hendak kerja kalau tak tidur 24 jam?

Pernah Sam bekerja sehingga 24 jam? Adakah itu juga menjadi sebab syarat 12 jam sehari yang diletakkan Sam?

Pernah sahaja tak tidur 24 jam, itu ketika mula-mula berkecimpung dalam dunia seni. Hendak cakap takut. Tetapi saya perlu ada ketegasan dalam bekerja. Disiplin dan komitmen itu penting. Kita kena letakkan berapa jam sehari untuk bekerja.

Kalau kerja di pejabat, mungkin lapan jam maksima. Bagi saya, sebagai pelakon yang sudah lebih sedekad bekerja, 12 jam tempoh masa yang baik.

Ada beranggapan jika Sam sebagai produser, mesti akan lakukan perkara sama? Hendak cepat habis, jimat bajet?

Mungkin sebagai produser yang tak fikir kebajikan pekerja, saya akan ‘hentak’ kru produksi bekerja sehingga 12 jam. Tetapi kita kena fikir soal bayaran juga. Kerja 20 jam, tetapi bayaran tetap sama. Tak adil kan perkara itu?

Jadi, kita kena ada toleransi. Masing-masing sudah tahu kerja sendiri dan buat persediaan awal sebelum masuk set penggambaran. Kalau tidak, semua benda kucar-kacir. Nak makan tengah hari pun terkejar-kejar.

Bila ramai mula bersuara, adakah Sam merasakan industri seni kita bakal berubah terutama dalam aspek had masa bekerja ini?

Saya harap begitulah. Sebagai pelakon atau kru produksi sendiri, kita memerlukan masa untuk berehat. Kita tidak guna otak sahaja. Mental dan fizikal perlu dijaga.

Bila tidak cukup tidur, nak hafal skrip pun ke laut. Otak tidak bergerak. Sebab itu, saya pentingkan etika ketika bekerja.

Bila semua pihak faham keperluan dan etika ketika bekerja, saya rasa tidak akan timbul isu seperti itu. Kita sama-sama jaga kita. Itu yang penting.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya