YANGON: Seorang jeneral tertinggi Myanmar menggesa agar banci kebangsaan diadakan pada Oktober depan, walaupun sebahagian besar negara itu masih berada di luar kawalan junta.
Pegawai tentera itu berkata, bancian mesti dilaksanakan sebelum pilihan raya baharu, yang dibayangi akan dikuasai oleh ahli politik yang disokong oleh junta pada 2025.
“Persiapan mesti dibuat untuk menghitung jumlah penduduk dan bancian isi rumah di seluruh negara dari 1 hingga 15 Oktober depan,” katanya.
Junta No 2 Soe Win mengeluarkan kenyataan itu semasa lawatan ke hab komersial Yangon pada hari Isnin, lapor Global New Light of Myanmar.
Pegawai di Yangon turut melaporkan persediaan untuk pengumpulan data banci penduduk itu.
Oktober lalu, junta berkata, pihaknya sedang menjalankan banci perintis di perbandaran terpilih di ibu kota yang dibina tentera iaitu Naypyidaw, wilayah Mandalay dan Bago, dan negeri Karen.
Junta melakukan rampasan kuasa pada 2021, dengan dakwaan tidak berasas mengenai penipuan yang meluas pada Pilihan Raya 2020 yang dimenangi oleh parti Liga Kebangsaan Demokrasi (NLD) pimpinan Aung San Suu Kyi.