TEHRAN: Banyak spekulasi timbul dalam media sosial selepas helikopter yang dinaiki Presiden Iran, Ebrahim Raisi terhempas di kawasan pergunungan berhampiran sempadan Azerbaijan.
Antaranya termasuk dakwaan yang mengaitkan Israel sebagai dalang di sebalik nahas yang turut mengorbankan Menteri Luarnya, Hossein Amirabdollahian.
Tuduhan itu timbul kerana hubungan Israel dan Iran yang semakin dingin sejak kebelakangan ini.
Bekas Penasihat Keamanan Nasional Israel, Mejar Jeneral Yaakov berkata, nahas helikopter itu besar kemungkinan kerana masalah teknikal dan cuaca buruk.
Jelasnya, tiada punca luar yang menyebabkan kecelakaan itu kerana helikopter itu terbang di kawasan yang sangat berkabus.
“Maksud saya tempat itu adalah wilayah yang sangat bergunung-ganang dan helikopter itu sendiri sudah sangat lama usianya,” katanya.
Beliau turut menyangkal dakwaan Israel adalah di sebalik nahas itu.
“Buang masa untuk mengatakan hal itu.
“Jika anda ingin melakukan sesuatu yang memberikan impak kepada domestik dan antarabangsa, bukan Presiden yang perlu menjadi sasaran,” tegasnya.
Sehingga kini, belum ada kepastian mengenai jenis helikopter yang membawa Ebrahim dan rombongan lain.
Helikopter itu berkemungkinan adalah milik tentera atau kepunyaan Bulan Sabit Merah.
Iran mengoperasikan sebilangan helikopter, namun sebahagian besar sudah ada sejak Revolusi Islam di negara itu pada 1979. -AGENSI