KAHERAH: Hamas menghantar delegasi ke Kaherah bagi membincangkan perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tawanan di Gaza.
Perbincangan itu dilakukan bersama Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), William Burns di ibu negara Mesir, menurut sumber dari Mesir, lapor Reuters.
Hamas dan pegawai CIA melakukan pertemuan bersama orang tengah, semalam.
Bagaimanapun, sumber itu tidak dapat mengesahkan sama ada pertemuan dijalankan secara berasingan atau sebaliknya.
Hamas memaklumkan akan menghantar delegasi ke Kaherah dengan ‘semangat positif’ selepas melihat perkembangan perjanjian gencatan senjata.
“Kami berazam untuk mendapatkan perjanjian dengan cara yang dapat memenuhi impian rakyat Palestin,” kata kumpulan pejuang itu menerusi kenyataan.
Pegawai AS menjangka beberapa perkembangan hasil perbincangan itu, namun masih menunggu lebih lanjut.
CIA enggan mengeluarkan komen kerana bertentangan dengan polisinya yang tidak akan mendedahkan lawatan pengarah agensi itu.
Rundingan gencatan senjata berterusan sejak berbulan-bulan lalu tanpa sebarang kejayaan.
Israel bertekad untuk menghapuskan Hamas, manakala Hamas mahu gencatan senjata kekal serta pengunduran sepenuhnya Israel dari Gaza.
Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat berusaha menjadi orang tengah antara Israel dan Hamas bagi mencapai kesepakatan untuk gencatan senjata sejak konflik tercetus 7 Oktober lalu.