NEW YORK: Protes terhadap serangan Israel di Gaza kini merebak menerusi gerakan dalam dunia siber yang dinamakan sebagai ‘Blockout 2024’.
Kempen itu menyasarkan selebriti dan pempengaruh media sosial yang dilihat tidak sensitif, menyatakan sokongan secara jelas atau lantang bersuara mengenai nasib yang dialami penduduk Gaza akibat ditindas rejim Zionis.
Kempen yang dilancarkan sejurus Met Gala berakhir 6 Mei lalu, menggalakkan orang ramai menyekat atau menyahikut akaun sosial media selebriti terkenal dalam Instagram, X dan TikTok.
Gerakan itu dicetuskan oleh pempengaruh, Haley Kalil menerusi video TikTok yang menggambarkan persamaan semasa era Revolusi Perancis apabila sikap acuh tak acuh Ratu Marie Antoinette terhadap penderitaan golongan miskin.
Pelbagai akaun dalam TikTok, Instagram dan X mula menyebarkan senarai nama selebriti dan perniagaan yang dijalankan mereka untuk disekat.
Tujuan utama kempen itu dilancarkan supaya dapat mengurangkan jumlah pendapatan yang diraih selebriti menerusi iklan dalam media sosial masing-masing.
Taylor Swift, Kim Kardashian, Gal Gadot, Billie Ellish, Beyonce, Rihanna dan ramai lagi selebriti menjadi sasaran kempen berkenaan.
Blockout 2024 ternyata mendatangkan impak apabila pelakon dan penyanyi, Selena Gomez hilang sejuta pengikut Instagram dan 100,000 di X.
Pempengaruh media sosial dan bintang televisyen, Kim Kardashian hilang 780,000 pengikut di Instagram.
Komposer dan penyanyi, Billie Ellish hilang 1.1 juta pengikut di Instagram.
Pelakon, penyanyi dan komposer terkenal, Beyonce hilang 689,000 pengikut di Instagram, manakala, penyanyi, Rihanna hilang 110,000 pengikut di X. -AGENSI