DHAKA: Golongan transgender yang merasakan tersisih daripada masyarakat kini boleh mengunjungi masjid baharu yang dibina khusus untuk komuniti tersebut yang dikenali sebagai Hijra.
Masjid yang dibina berdekatan Mymensingh, utara Dhaka itu terletak di tebing sungai Brahmaputra yang disumbangkan oleh kerajaan selepas komuniti transgender diusir daripada jemaah di kawasan itu, lapor Al Jazeera.
Masjid yang dibina dengan struktur sederhana, mempunyai bangsal dan satu bilik dengan dinding dan bumbung diperbuat daripada timah adalah hab komuniti baharu bagi golongan minoriti di Bangladesh.
Pengasas Hijra, Mufti Abdur Rahman berkata, masjid baharu tersebut adalah binaan pertama berkonsepkan sedemikian di negara itu.
Kongsinya, masjid sama pernah diracang untuk dibina di bandar lain, namun terpaksa dihentikan akibat protes penduduk setempat.
Sonia, 42, meluahkan kesyukuran kerana dapat beribadah di masjid tanpa sebarang gangguan atau diskriminasi.
Namun, selepas memilih hidup menjadi transgender, penduduk di Bangladesh menghalang dirinya untuk mengunjungi masjid.
“Kami selalu dipersoalkan kenapa datang ke masjid dan diarahkan supaya solat di rumah sahaja.
“Insiden itu memalukan kami dan sejak itu kami tidak pergi ke masjid. Sekarang, ini adalah masjid kami, tiada sesiapa lagi berhak menafikan hak kami lagi,” luahnya yang gemar membaca al-Quran sejak kecil dan mengambil pengajian dalam jurusan agama.
Hijra diiktiraf undang-undang kerana sejak 2013, Bangladesh membenarkan ahli komuniti itu dikenali sebagai jantina ketiga.
Seorang wanita transgender pernah dipilih sebagai Datuk Bandar di sebuah kawasan luar bandar, pada 2021.
Bagaimanapun, komuniti itu masih berjuang mendapatkan pengiktirafan, penerimaan asas kerana sering menjadi mangsa diskriminasi dalam pekerjaan, mangsa jenayah kekerasan dan kemiskinan berbanding warga Bangladesh lain.
Kumpulan Islam lain mengecam pengiktirafan transgender sebagai warga Bangladesh dalam buku teks sekolah dan menuntut kerajaan tidak memasukkan mereka dalam kurikulum pembelajaran.