SYDNEY: Australia akan mengehadkan jumlah kemasukan pelajar antarabangsa di negara itu bagi mengurangkan kemasukan warga asing dan kekurangan penyediaan rumah sewa.
Kerajaan Canberra menjelaskan program pendidikan antarabangsa adalah lubuk bagi pelajar asing datang ke Australia dan melakukan penipuan visa.
Menteri Kanan Kerajaan berkata, had untuk sektor pendidikan akan menjadi sebahagian daripada rancangan yang lebih luas untuk mengurus migrasi, meningkatkan ketersediaan perumahan dan menangani kekurangan kemahiran dalam ekonomi.
Bagaimanapun, sektor universiti menegaskan cadangan itu akan merosakkan reputasi global Australia sebagai destinasi mesra, selamat dan bertaraf dunia untuk pelajar dari negara lain.
Ini kerana, sektor pendidikan merupakan eksport Australia paling menguntungkan.
Namun, Kerajaan berhaluan kiri di Canberra berkata, sektor pendidikan antarabangsa yang merangkumi banyak kolej bahasa Inggeris swasta yang lebih kecil, institusi vokasional dan latihan serta universiti lebih besar digunakan sebagai cara bagi pendatang yang bukan mahir untuk tinggal di Australia.
Timbalan Naib Canselor di Universiti Melbourne, Michael Wesley memberitahu Australian Broadcasting Corp, pihaknya berharap kerajaan akan menyasarkan penyedia pendidikan yang tidak bertanggungjawab.
“Kami mengalu-alukan tindakan tegas terhadap penyedia pendidikan yang menipu serta menyediakan pintu belakang bagi bukan pelajar tulen.
“Kami yakin semua pelajar antarabangsa kami adalah pelajar tulen dan berharap impak penutupan visa ini akan dikuatkuasakan kepada sektor pendidikan yang tidak tulen,” katanya.
Tahun lalu, rekod menunjukkan seramai 787,000 pelajar antarabangsa menyambung pelajaran di Australia melebihi jumnlah sebelum wabak Covid-19.
Majoriti pelajar antarabangsa di Australia datang dari lima negara iaitu China, India, Nepal, Filipina dan Vietnam.
Kedatangan mereka menyumbang pendapatan bilion dolar kepada ekonomi Australia. -AGENSI