WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) percaya perbalahan antara Israel dan Hamas boleh diselesaikan menerusi sesi rundingan berhubung cadangan gencatan senjata baharu kumpulan pejuang Palestin itu, ketika perbincangan disambung semula di Kaherah, semalam.
Selalu lalu, tentera Israel merampas lintasan sempadan antara Gaza dan Mesir di Rafah, yang menyaksikan lebih sejuta penduduk Palestin kehilangan tempat tinggal.
Rampasan itu memutuskan laluan penting untuk misi penghantaran bantuan ke kawasan kecil, yang menyebabkan ratusan ribu penduduk kehilangan tempat tinggal dan dibelenggu kelaparan.
Di Kaherah, kesemua lima delegasi yang mengambil bahagian dalam rundingan gencatan senjata pada Selasa, iaitu Hamas, Israel, AS, Mesir dan Qatar memberi reaksi positif terhadap usaha penyambungan semula rundingan dan mesyuarat yang dilaksanakan semalam, kata dua sumber Mesir.
Pengarah Agensi Perisikan Persekutuan (CIA), Bill Burns melakukan perjalanan dari Kaherah ke Israel untuk bertemu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan pegawai Israel, semalam, kata sumber.
Isnin lalu, Israel menolak cadangan tiga fasa yang dipersetujui oleh Hamas.
Jurucakap White House, John Kirby berkata, Hamas membentangkan cadangan yang disemak namun enggan menjelaskan intipati berkenaan.
Pejuang Hamas enggan membebaskan lebih banyak tebusan Israel disebabkan rejim Zionis tidak mengotakan janji untuk menoktahkan konflik serangan secara kekal.
Israel berulang kali mendakwa Rafah adalah kubu terakhir pejuang Hamas.
Pegawai Hamas, Osama Hamdan semasa ditemui pemberita di Beirut, memberi amaran tiada perjanjian gencatan senjata akan dicapai sekiranya pencerobohan tentera Israel masih berterusan di Rafah.
Serangan ke atas sektor timur Rafah yang dipenuhi orang awam yang kehilangan tempat tinggal dibuat ketika perunding dan pengantara bertemu di Kaherah dalam usaha pembebasan tebusan dan gencatan senjata membabitkan perang yang berlanjutan selama tujuh bulan itu.
Seorang pegawai kanan Hamas yang enggan namanya disiarkan memberi amaran rundingan itu akan menjadi peluang terakhir Israel untuk membebaskan kira-kira 128 tawanan yang masih ditahan di Gaza, termasuk 36 pegawai yang dikatakan sudah meninggal dunia. -REUTERS