PETALING JAYA: Beregu lelaki meningkat naik, Arif Junaidi-Yap Roy King mencipta kejutan apabila menyingkirkan pilihan keenam dari Denmark, Rasmus Kjaer-Fredirik Sogaard untuk melangkah ke separuh akhir Malaysia Masters 2024, hari ini.
Mereka yang menghuni di ranking ke-47 dunia bangkit daripada kekalahan set kedua untuk mencatat kemenangan 21-18, 14-21, 21-18 ke atas lawannya pada aksi suku akhir di hadapan penonton tanah air.
Menurut Arif, mereka kelihatan selesa ketika mendahului permainan 19-14 ketika set ketiga, namun kelihatan goyah apabila Kjaer-Sogaard mengejar mata untuk menjadikan kedudukan 19-18.
Bagaimanapun, pemain kelahiran Terengganu itu mendedahkan strategi beliau ketika pasangan Denmark itu leka dalam mengejar mata untuk mengaut kemenangan pada perlawanan terbabit.
“Pada saat akhir permainan tadi kami kehilangan sabar. Kami memanggil pasukan perubatan untuk memusnahkan rentak mereka mendapat mata sekali gus berjaya memenangi perlawanan itu.
“Sebenarnya kesilapan dari kami berdua sendiri ketika mata ke-19 itu. Kami hilang fokus mungkin kerana fikir kami sudah menang. Saya harap perkara itu tidak berulang lagi,” katanya selepas aksi suku akhir yang berlangsung di Axiata Arena, sebentar tadi.
Ini adalah pertemuan pertama mereka antara kedua-dua pasangan yang mana Kjaer-Sogaard tampil selaku pasangan nombor 18 dunia.
Dalam pada itu, Arif-Roy King meluahkan bahawa mereka tidak menyangkakan mara ke peringkat empat pasangan terakhir berikutan hanya mensasarkan ke suku akhir kejohanan berkenaan.
Menurut Arif, beliau bersama pasangannya amat gembira akan permainannya sebentar tadi dan meletakkan motivasi baharu iaitu mencabar kejuaraan di laman sendiri.
“Sebenarnya kami meletakkan sasaran ke suku akhir sahaja. Alang-alang sudah sampai ke separuh akhir, kami memberi sepenuh tenaga untuk merangkul kejuaraan,”
“Kami tidak menyangkakan akan mampu sejauh ini. Bermain dengan pasangan ranking lebih tinggi seperti China dan Taiwan amat menyukarkan kami. Kami amat bersyukur kemenangan kami hari ini,” katanya.
Sementara itu, finalis Malaysia Masters tahun lalu, Man Wei Chong-Tee Kai Wun gagal mara ke separuh akhir selepas tewas kepada pilihan ketiga dari China, He Ji Ting-Ren Xiang Xu, sebentar tadi.-UTUSAN