WASHINGTON: Puting beliung yang melanda bahagian tengah Amerika Syarikat (AS) ketika cuti hujung minggu lalu, mengorbankan 15 penduduk tempatan.
Seramai tujuh maut di utara Texas, lima di Arkansas, dua di Oklahoma dan seorang mangsa di Kentucky.
Ratusan ribu rumah terputus bekalan elektrik akibat bencana yang memusnahkan kediaman penduduk, lapor Reuters.
Sheriff Cooke County, Ray Sappington berkata, tujuh orang maut termasuk dua kanak-kanak berusia dua dan lima tahun di Texas akibat puting beliung kuat melanda penduduk di bahagian utara dan tengah negeri itu berhampiran sempadan Oklahoma.
Rakaman video selepas bencana itu menunjukkan rumah dan bangunan lain hancur akibat timbunan runtuhan, kenderaan hancur remuk serta banyak pokok tumbang.
Puting beliung turut merentasi Denton County, barat laut Dallas yang merosakkan kediaman penduduk serta bekalan elektrik terputus.
Lebih 430,000 pelanggan utiliti terputus bekalan elektrik merentasi kawasan lapang negeri dari Texas hingga Ohio.
Pihak berkuasa di Arkansas melaporkan beberapa angin puting beliung sehingga menyebabkan kematian termasuk satu kes di Benton County, dua di Marion County dan wanita warga emas berusia 73 tahun di Baxter county.
Di Oklahoma, bencana menyebabkan kerosakan besar dan dua orang maut.