Tujuh bulan perang Israel-Hamas

Tujuh bulan perang Israel-Hamas

PENDUDUK Palestin meninggalkan kawasan yang dibom Israel di tengah Bandar Gaza pada 18 Mac lalu.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANDAR GAZA: Perang di antara Israel dan Hamas memasuki bulan ketujuh semalam ketika Amerika Syarikat (AS) dan perunding lain dijangka menyertai rundingan di Kaherah dalam desakan baharu untuk gencatan senjata dan perjanjian pembebasan tebusan.

Berita Al-Qahera Mesir berkata, Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat (AS), Bill Burns dan Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Jassim Al-Thani dilaporkan menyertai pengantara Mesir dalam rundingan di antara delegasi Israel dan Hamas.

Hamas mengesahkan menje­lang rundingan bahawa tuntutan terasnya ialah gencatan senjata sepenuhnya di Gaza dan pe­ngunduran tentera Israel.

ISRAEL PECAT DUA PEGAWAI

Percubaan gencatan senjata itu dilakukan selepas tentera Israel memecat dua pegawai berhubung pembunuhan tujuh pekerja bantuan di Gaza, ming­gu lalu.

Bagaimanapun, pengakuan atas kematian pekerja dari World Central Kitchen (WCK) yang berpangkalan di AS pada 1 April lalu tidak memadamkan panggilan untuk siasatan bebas.

Chef selebriti Sepanyol-Amerika dan pengasas WCK, Jose Andres memberitahu ABC News, sudah enam bulan Isra­el me­nya­sarkan apa sahaja yang kelihatan bergerak di Ga­za.

“Ini benar-benar pada ketika ini nampaknya adalah perang terhadap kemanusiaan itu sendiri,” katanya.

HUBUNGAN TEGANG AS-ISRAEL

Kematian pekerja bantuan membawa kepada hubungan tegang di antara Presiden AS, Joe Biden dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Biden menggesa gencatan senjata segera dan buat pertama kali membayangkan bahawa sokongan AS kepada Israel bersyarat untuk menyekat pembunuhan orang awam dan memperbaiki keadaan kemanusiaan.

Perang Gaza paling berdarah bermula pada 7 Oktober lalu de­ngan serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini dari Gaza oleh pejuang Hamas yang me­ngakibatkan kematian 1,170 orang, kebanyakannya orang awam.

Pejuang Palestin turut dilaporkan mengambil kira-kira 250 tebusan Israel dan asing, kira-kira 130 daripadanya kekal di Gaza termasuk lebih 30 tentera yang dikatakan sudah mati.

Presiden Israel, Isaac Herzog berkata, Israel menghampiri tanda setengah tahun dalam perang berdarah dan sukar yang bermula dengan serangan pengganas yang kejam dan pembunuhan beramai-ramai yang mengerikan.

Serangan balas Israel terhadap Hamas membunuh sekurang-kurangnya 33,137 orang di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan di wilayah kendalian Hamas.

AL-SHIFA JADI TANAH PERKUBURAN

Misi kesihatan yang diketuai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akhirnya mendapat akses ke hospital terbesar Gaza, Hospital Al-Shifa, bagaimanapun, ia kini ranap dan menjadi abu setelah diserang Israel selama dua minggu.

Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, hospital Kota Gaza itu kini bertukar menjadi perkuburan manusia.

Beliau berkata, pasukan itu melihat sekurang-kurangnya lima mayat semasa menjalankan misi itu.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak berkata, konflik yang dahsyat ini mesti berakhir.

“Kami terus berpegang kepada hak Israel untuk mengalahkan ancaman kumpulan Hamas dan mempertahankan keselamatan mereka. Tetapi seluruh United Kingdom (UK) terkejut dengan pertumpahan darah itu,” kata­nya dalam satu kenyataan.

Tentera Israel mengumumkan memecat dua pegawainya selepas mendapati beberapa siri kesilapan membawa kepada serangan dron yang membunuh pekerja WCK.

Ia berkata seorang komander tersilap mengandaikan Hamas merampas kenderaan bantuan yang bergerak waktu malam.Kerajaan Australia turut mengkritik tindak balas Israel terhadap kematian rak­yatnya. –AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN