RAMALLAH: Peneroka haram Israel yang bersenjata menembak mati dua rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki sekali gus meningkatkan ketegangan di kawasan itu.
Kejadian itu dilaporkan berlaku beberapa jam selepas tentera Israel membunuh seorang remaja Palestin dalam satu serbuan di Tebing Barat, meningkatkan jumlah kematian kepada lapan orang sejak ketegangan memuncak Jumaat lalu.
Serangan kejam itu turut disaksikan Datuk Bandar Aqraba, Salah Bani Jaber, yang memberitahu wartawan kira-kira 50 peneroka, kebanyakannya bersenjata, menyerang anggota komunitinya dan melepaskan tembakan ke arah pemuda Palestin.
“Sekumpulan peneroka haram itu membunuh dua daripada mereka dan mencederakan puluhan yang lain.
“Ada askar Israel di tempat kejadian yang berdiri sambil memerhatikan peneroka itu melakukan tembakan,” katanya.
Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin berkata, tentera rejim Zionis turut bertindak menghalang pasukan ambulan daripada memasuki kawasan itu dan membantu merawat mangsa yang cedera.
Sejak Sabtu lalu, beratus-ratus peneroka bersenjata Yahudi menyerbu perkampungan Palestin berhampiran bandar Ramallah, menyekat jalan raya, membakar rumah dan kereta termasuk menembak orang awam.
Dalam satu insiden yang sempat dirakam dan dimuat naik di laman media oleh kumpulan hak asasi Israel, Yesh Din pada Ahad lalu sekumpulan peneroka bertopeng kelihatan membakar sebuah kereta di bawah pengawasan sekurang-kurangnya tiga anggota tentera Israel.
Ketika menjawab pertanyaan wartawan berhubung video tersebut, tentera Israel mendakwa tingkah laku anggota dalam video itu tidak sesuai dengan nilai dan prinsip mereka dan sedang menyiasat megenai perkara itu.
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, sekurang-kurangnya 466 rakyat Palestin terbunuh di Tebing Barat akibat kekejaman tentera rejim Zionis dan kumpulan peneroka haram bersenjata ketika Israel meningkatkan serangan ke atas Gaza November tahun lalu.
Dalam tempoh yang sama, sekurang-kurangnya 13 warga Israel, termasuk dua anggota pasukan keselamatan maut akibat tindak balas penduduk Palestin di kawasan diduduki itu.-REUTERS