Selain isu balik kampung dan kesesakan lalu-lintas, antara dilema lain yang dihadapi kebanyakan warga kota setiap kali Aidilfitri adalah kebajikan haiwan peliharaan.
Rata-ratanya risau untuk meninggalkan si manja di rumah dalam tempoh lama.
Namun, dengan adanya perkhidmatan hotel kucing secara tidak langsung dapat membantu menggalas tugas menjaga haiwan tersayang pada musim perayaan.
Konsep yang digunakan sama seperti hotel bagi manusia cuma yang berbeza adalah ia dikhaskan untuk kucing.
Perkhidmatan tertumpu pada kebajikan asas seperti makan, minum dan kebersihan sepanjang tempoh penginapan.
Justeru, tidak hairanlah tempahan hotel kucing sentiasa penuh ketika perayaan dan musim haji atau umrah.
Pengurus Kanan Catzonia Hostails Sdn. Bhd., Beth Nur Hamisyah Ibrahim berkata, servis yang diberikan adalah berbeza mengikut jenis bilik yang ditempah.
Menariknya, setiap pemilik akan diberikan maklumat terkini tentang keadaan kucing masing-masing pada setiap hari.
“Bagi kucing yang berada di bilik premium pula, pemiliknya boleh memantau si manja mereka menerusi akses kamera litar tertutup (CCTV),” katanya kepada Seri baru-baru ini.
Bagi mengelak kucing stres, sesi riadah turut disediakan bergantung kepada pakej yang diambil.
Katanya, sesi itu dilakukan setiap hari agar kucing kekal gembira walaupun berada di tempat baharu.
“Namun, ada segelintir pemilik kucing yang susah mempercayai servis ini disebabkan kes-kes yang tular di media sosial melibatkan pengabaian, hilang mahupun penderaan,” katanya.
LATIHAN INTENSIF
Sementara itu, Penolong Pengurus Catzonia cawangan Shah Alam, Azrin Fazrina Jaffar berkata, setiap pekerja diberikan latihan intensif sebelum memulakan khidmat sebagai penjaga.
Katanya, latihan berkenaan mengambil masa selama dua minggu.
“Sepanjang tempoh itu, penjaga akan didedahkan dengan semua kaedah penjagaan mengikut standard yang ditetapkan syarikat,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, selama hampir setahun berkhidmat, paling banyak kucing yang menginap dalam satu masa adalah 10 ekor.
Haiwan tersebut ditinggalkan selama sebulan kerana pemiliknya menunaikan ibadah haji.