PETALING JAYA: Penyanyi nasyid, Mateen Yakub menggalas tanggungjawab besar dalam membawakan lagu terbarunya, Asma’ Abu Bakar yang diperdengarkan kepada umum kira-kira sebulan yang lalu.
Jelas Mateen, lagu tersebut mengandungi penceritaan tentang tokoh penting dalam Islam yang jarang didendangkan, justeru perlu dipersembahkan dengan pemahaman yang betul agar mesejnya sampai kepada pendengar.
“Pada awalnya, saya tak tahu siapa Asma’ Abu Bakar yang diceritakan dalam lagu ini. Saya kena buat bacaan sebelum menyanyikannya kerana kalau ditanya tentang siapa figura ini, saya boleh jelaskan.
“Selalunya kita didedahkan dengan perjalanan junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan Saidina Abu Bakar. Untuk lagu ini, kita fokuskan kepada perjalanan Asma’ sebagai penghantar bekalan makanan dan minuman untuk Nabi Muhammad SAW dan Saidina Abu Bakar.
“Jadi sebelum menyanyikan lagu ini, saya banyak membaca kisah Asma’ daripada hadis-hadis sahih,” katanya.
Lagu tersebut, yang video muziknya dipertontonkan di platform Youtube, menerima jumlah tontonan memberangsangkan sehingga 39,000 setakat ini. Ia dicipta Ito Lara, Frizdan Fizarahman dan Wan Salleh serta diterbitkan Inteam Digital.
Mateen sebelum ini berkhidmat sebagai imam di sebuah masjid yang terletak di Sri Damansara. Dia bagaimanapun melepaskan jawatan tersebut untuk mengajar di Kelas Agama dan Fadu Ain (KAFA) dekat Putrajaya sebelum bergelar pegawai Islamik di sebuah hotel di ibu negara.
“Peletakan jawatan sebagai imam tidak ada kaitan dengan pembabitan saya dalam dunia nasyid. Malah penglibatan saya sebagai penyanyi nasyid juga tidak pernah dipersoal ahli jawatankuasa serta jemaah di masjid berkenaan.
“Ia didorong oleh keinginan saya ketika itu yang mahu bekerja sebagai guru KAFA berdekatan kediaman saya di Putrajaya.
“Saya tidak nafikan, sebelum ini ada netizen yang tidak bersetuju dengan penglibatan saya sebagai penyanyi nasyid disebabkan status saya sebagai imam di masjid berkenaan. Tapi saya tahu saya tidak melanggar syariat.
“Saya pun tidaklah tersasar. Dan jika ya (tersasar), saya sedia terima nasihat dan teguran. Pada saya, zaman sekarang kena buat dua tiga kerja. Kalau ada peluang, manfaatkan,” kongsinya.