MOSCOW: Kementerian Luar Russia menuntut Ukraine mengekstradisi semua individu yang mempunyai kaitan dengan aktiviti keganasan yang dilancarkan di negara itu.
Tuntutan itu dibuat termasuk menyasarkan Ketua Perkhidmatan Keselamatan, Agensi Perisikan Ukraine (SBU), Vasyl Maliuk susulan serangan tidak berperikemanusiaan yang tercetus di dewan konsert di Moscow, baru-baru ini.
“Hasil siasatan mendapati insiden yang mengorbankan 144 orang itu adalah didalangi oleh Ukraine.
“Kami menuntut penahanan serta-merta dan ekstradisi semua individu yang berkaitan dengan tindakan keganasan,” katanya menerusi kenyataan.
Dalam masa sama, Russia turut menggesa Kiev menghentikan semua sokongan terhadap aktiviti keganasan, mengekstradisi pihak yang bersalah serta membayar pampasan kepada mangsa sebagai ganti rugi.
“Tindakan Ukraine yang melanggar kewajipan di bawah konvensyen anti-pengganas menyebabkan negara itu perlu dipertanggungjawabkan berdasarkan peruntukan undang-undang antarabangsa,” katanya.
Bagaimanapun, pihak SBU tidak mengendahkan tuntutan Russia yang dianggap sebagai ‘tidak berasas’, malah memberi peringatan Presiden Russia, Vladimir Putin yang sebenarnya adalah subjek buruan antarabangsa oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa. -REUTERS