Redah hutan untuk kraftangan

Redah hutan untuk kraftangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Berbaju kurung batik rona ungu bermotif bunga harum manis membuatkan penampilan Datuk ‘Ainu Sham Ramli kelihatan anggun.

Beliau yang berasal dari negeri pengeluar buah berkenaan, Perlis, sengaja memilih untuk menggayakan busana itu ketika sesi penggambaran bersama Seri, di Kraftangan Malaysia, Jalan Conlay, baru-baru ini.

Katanya, Kraftangan Malaysia kini membangunkan rekaan baharu di bawah Projek Batik Motif Identiti Negeri dengan usaha sama antara pereka dalaman agensi berkenaan dan usahawan kraf.

“Projek ini memperkenalkan motif dan reka corak baharu yang diinspirasikan daripada identiti setempat seperti bunga harum manis untuk Perlis, biji padi (Kedah), bunga pinang (Pulau Pinang) dan bunga kelumpang (Perak).

“Diikuti bunga tanjung pecah sembilan (Selangor), bunga lado (Negeri Sembilan), bunga kesidang (Melaka), lada hitam (Johor), rafflesia (Sabah) dan orkid Normah (Sarawak),” katanya kepada Seri.

Selain pada batik, motif-motif itu juga menghiasi produk kraf lain seperti pinggan mangkuk dan set minuman.

Inisiatif tersebut selaras dengan misi Kraftangan Malaysia untuk membangun dan memperkasakan usahawan sekali gus memajukan industri kraf negara.

“Aspirasi kita adalah untuk mengangkat kraf sebagai agenda pembangunan sosial dan ekonomi rakyat

“Hasrat ini membawa rakyat menyertai arus pembangunan secara inklusif dan beroleh manfaat sepenuhnya daripada kemajuan ekonomi,” katanya.

Sehingga Februari 2024, seramai 6,770 usahawan berdaftar di bawah Kraftangan Malaysia.

Bukan itu sahaja, Kraftangan Malaysia turut menggerakkan Program Pembangunan Komuniti Kraf dalam usaha membangunkan komuniti kraf baharu.

‘Ainu Sham berkata, program holistik keusahawanan itu meliputi pelbagai aspek kemahiran yang diperlukan dalam pembangunan komuniti kraf.

Mendepani realiti baharu aktiviti pemasaran dalam bentuk pendigitalan, Kraftangan Malaysia meluaskan saluran pemasaran menerusi platform Mycraftshoppe.

Pengguna berpeluang mendapatkan pelbagai produk kraf dalam rantaian industri ini.

Beliau berkata, bagi pemasaran secara fizikal pula, Kraftangan Malaysia merancang pelbagai promosi di peringkat domestik dan antarabangsa termasuk Hari Kraf Kebangsaan.

PERKASA ORANG MUDA
Bagi meningkatkan kesedaran mengenai keunikan produk kraftangan, program pengembangan ilmu dijalankan bermula di peringkat akar umbi.

Pelbagai aktiviti dilaksanakan seperti wacana, cakna dan interaktif kraf daripada tadika, sekolah rendah, menengah hingga ke institut pengajian tinggi.

Usaha ini bertujuan memupuk minat golongan muda mengenai kraf tempatan dan kelak menjadi permulaan yang signifikan untuk mereka melanjutkan pengajian seni kraf di Institut Kraf Negara (IKN) di Selangor.

Pengajian seni kraf turut ditawarkan di kampus Satelit IKN di Sabah dan Sarawak.

Bahkan, Projek Perantis Warisan Kraf (Pewaris) turut dilaksanakan bagi memastikan seni kraf tangan tidak hilang ditelan zaman dengan penglibatan adiguru dan tokoh kraf negara.

DUA JAM REDAH JALAN BALAK
Walaupun tugas hakikinya lebih banyak di pejabat, ‘Ainu Sham mengakui gemar turun padang untuk berjumpa dengan usahawan kraf di seluruh negara.

Bagaimanapun, tidak semua tempat dapat dikunjungi kerana bergantung kepada projek yang dijalankan.

Ada usahawan yang tinggal di bandar dan mudah diakses. Ada juga berada jauh di pedalaman, namun ia tidak menghalang ‘Ainu Sham untuk menyantuni mereka.

Sebagai individu yang sukakan cabaran, peluang berharga itu memberikan pengalaman baharu untuk lebih mengenali budaya, cara hidup dan produk kraf di satu-satu tempat.

“Selain itu, kita dapat merasa masakan tradisi seperti ‘pusuk kicap’ di samping buah-buahan tempatan seperti dabai dan engkalak.

“Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah ketika ke Kapit, Sarawak yang merupakan kawasan paling jauh pernah dikunjungi.

“Dari Kuching ke Sibu dan kemudian Kapit ke Sungai Kain. Perjalanan off road sahaja memakan masa dua jam melalui laluan balak yang tidak rata dan berbukit,” katanya.

Tambah ‘Ainu Sham, setibanya di rumah panjang, kelihatan wanita kaum Iban mengusahakan tenunan pua di samping komuniti yang aktif menghasilkan kraf manik dan anyaman rotan.

“Saya juga pernah ke Long Bedian di Sarawak dan tinggal di inap desa. Nak balik hari tidak boleh sebab perjalanan makan masa hampir sehari,” katanya.


KRAF IBU JADI KENANGAN
‘Ainu Sham berkata, beliau masih terbayang seni tangan yang dihasilkan arwah ibunya, Azizah Shafie yang mahir menyulam benang untuk dijadikan alas meja dan pelapik cawan.

Selain itu, arwah ibunya juga membuat bunga daripada sabut kelapa.

“Pada masa itu, saya tidak tahu aktiviti tersebut adalah sejenis kraftangan. Sebiji kelapa dijadikan pasu manakala bunga pula daripada biji pinang. Hasil krafangan itu dijual pada kenalan dan jiran-jiran,” katanya.

Arwah ayahnya, Ramli Abu Semani kenangan pula adalah seorang guru dan turut berbakat dalam seni lukis.

Di waktu lapangnya, ‘Ainu Sham gemar memasak menu tradisi dan mencuba resipi baharu.

Nasi daging, ayam bakar dan kerabu adalah antara masakan yang menjadi pilihan keluarganya.

Beliau yang membesar di Kampung Sempering, Jalan Santan berkata, ketupat palas lazimnya menjadi hidangan utama bagi penduduk kampung itu setiap kali Aidilfitri.

“Manakala di sebelah keluarga suami di Pahang menyajikan lemang dan rendang sebagai hidangan wajib,” katanya mengimbau kenangan berhari raya.

BERMULA DARI BAWAH
Mengimbau kenangan, beliau yang baru tamat pengajian dalam bidang Ekonomi, Universiti Islam Antarabangsa (UIA), diterima bekerja pada April 1992.

Bermula sebagai pegawai sambilan di Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, ‘Ainu Sham kini menerajui agensi itu sebagai Ketua Pengarah.

Beliau berkata, mandat yang digalas adalah tuaian pengalaman berkhidmat selama 32 tahun.

Permulaan kerjaya, beliau ditempatkan di bahagian pemuziuman, memandangkan ketika itu Kraftangan Malaysia mahu mewujudkan Muzium Kraf di Kuala Lumpur dan Langkawi.

Di situlah beliau banyak menjalankan kajian dan sempat menulis buku berjudul ‘Wayang Kulit: Warisan Teater Melayu’ yang diterbitkan pada 1996 dengan bimbingan pengarahnya.

“Buku itu bukan saja memaparkan sejarah wayang kulit tetapi mengenai proses pembuatan patung dan alat muzik yang digunakan dalam pertunjukan seni warisan itu,” katanya mengakhiri bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN