Raya tetap meriah walaupun guna bahasa isyarat

Raya tetap meriah walaupun guna bahasa isyarat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUNGKIN ada yang menganggap sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi keluarga cacat pendengaran dan bisu berlangsung dalam suasana sunyi serta tidak semeriah insan normal lain.

Namun, sangkaan itu ternyata meleset kerana kehadiran Syawal diraikan dengan keriangan walaupun berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat.

Perkara itu dikongsikan anak sulung kepada pasangan pekak, Mohd. Elham Samsuri dan Nor Yarasha Abu Samah yang masing-masing berusia 53 tahun.

Menurut Muhammad Elyas Mohd. Elham, 26, kediaman tetap ‘bising’ dengan ‘suara’ ibu bapa berborak diselangi dengan ‘jeritan’ memarahinya dan adik, Amir Ikhwan, 24.

“Suasana raya kami sama seperti orang lain dan bukanlah sunyi sepi kerana dalam setiap perbualan emak ayah akan disusuli dengan nada.

“Walaupun pekak dan bisu tetapi mereka boleh mengeluarkan nada, seperti orang normal yang ada ton suara tinggi serta rendah bagi menyatakan emosi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubu Gajah di Sungai Buluh baru-baru ini.

Sesi temubual itu berjalan mudah kerana Muhammad Elyas boleh berbahasa isyarat dan membantu penulis menterjemahkan jawapan kedua orang tuanya.

Muhammad Elyas berkata, setiap tahun, Syawal diraikan dengan pulang ke kampung ibunya di Batu Kikir, Kuala Pilah di Negeri Sembilan.

Di kampung, kebanyakan ahli keluarga memahami bahasa isyarat kerana kakak ibunya juga merupakan orang kurang upaya (OKU)cacat pendengaran.

Sementara itu, kata Nor Yarasha, tradisi beraya di desa tetap diteruskan biarpun orang tua sudah lama meninggal dunia.

Wanita ini bersyukur kerana tidak pernah berbalah dengan suami dalam hal balik beraya memandangkan rumah keluarga mertua serta adik-adik ipar yang terletak sebelah-menyebelah.

Malah, mertua turut memahami dan memberi peluang mereka sekeluarga menyambut 1 Syawal di Kuala Pilah.

“Emak meninggal dunia pada 2014 dan walaupun raya kini berbeza tanpanya tetapi itu bukan alasan untuk tidak balik kampung.

“Apalah erti raya jika tidak disambut dengan kakak-kakak, lagi pun hanya tinggal kami empat beradik sahaja,” katanya yang merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik.

Walaupun seronok dapat beraya dengan adik-beradik, tetapi jauh di sudut hatinya merindui kenangan bersama bonda tersayang termasuk keenakan rendang air tangan arwah.

Larang baju warna gelap
Sebagai satu-satunya wanita dalam keluarga, menjadi tanggungjawab Nor Yarasha untuk mengatur warna persalinan raya saban tahun.

Tahun ini, rona hijau dan kuning dipilih sebagai warna tema Aidilfitri mereka empat beranak.

Segala urusan pembelian baju dibuat lebih awal kerana tidak gemar persiapan saat akhir.

Lucunya, ahli keluarga dilarang memakai baju rona gelap pada Syawal kerana tidak melambangkan keceriaan.

“Setiap kali raya, sayalah yang paling teruja nak tentukan warna tema baju, manakala suami dan dua anak lelaki cuma ikut sahaja pilihan yang dibuat.

“Kadang kala anak-anak ‘bising’ sebab saya sentiasa menolak pilihan mereka mahu pakai baju Melayu hitam,” ujarnya tersenyum.

Kata Nor Yarasha, selain pemilihan baju, antara tugasan lainnya adalah memasak rendang ayam kampung untuk sajian keluarga.

Manakala, kerja-kerja mengemas rumah pula diagihkan kepada suami dan anak-anak.

“Masa arwah emak masih ada, saya rajin buat kuih raya untuk diberikan padanya tetapi sekarang sudah malas.

“Ditambah dengan harga barangan buat kuih yang makin mahal, jadi lebih baik beli sahaja yang siap di kedai,” katanya.

Rutin rumah terbuka
Menjadi rutin keluarga ini untuk mengadakan rumah terbuka pada minggu-minggu terakhir Syawal.

Antara tetamu mereka ialah ahli-ahli Persatuan Orang Pekak Selangor (POPS) yang sudah dianggap sebagai keluarga.

Mohd. Elham yang merupakan bekas timbalan presiden persatuan itu berkata, pekarangan rumah lazimnya sesak dengan kenderaan apabila hampir 70 ahli POPS berkunjung ke kediaman.

“Sejak dahulu, saya tidak pernah terlepas mengadakan rumah terbuka dan aktiviti itu sudah menjadi agenda rasmi sesama kami, saban tahun.

“Antara menu wajib yang disediakan isteri ialah lontong, gulai masak lemak ayam kampung, mihun sup, spageti bolognese dan pencuci mulut, sagu gula Melaka,” katanya.

Sajian paling istimewa adalah gulai masak lemak ayam kampung kerana resipinya yang tersendiri dan jarang ditemui.

Katanya, campuran betik muda dan sedikit perahan lemon menjadikan menu itu lebih enak serta ditunggu ramai pada majlis rumah terbuka.


Memori kena marah ketika salam raya
Tradisi bersalaman memohon maaf pada 1 Syawal lazimnya diselangi dengan air mata, namun lain buat Muhammad Elyas yang pernah dimarahi bapanya.

Mengimbau kejadian pada pagi Aidilfitri 2019 itu, katanya, suasana ceria bertukar cemas seketika selepas rahsianya terbongkar.

“Ketika itu, saya sebenarnya sudah dibuang universiti kerana sering ponteng kelas akibat kecederaan kerana kemalangan motosikal.

“Setelah lama ‘berahsia’, saya nekad untuk berterus-terang ketika kami sekeluarga bersalam raya di kampung dan pengakuan itu benar-benar mengejutkan ayah tetapi marahnya tidak lama,” katanya.

Selepas insiden itu, bekas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ini melupakan bidang pengajian dan mula bekerja bagi membantu kedua orang tuanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN