TEL AVIV: Beribu-ribu penunjuk perasaan antikerajaan Israel berkumpul di Tel Aviv untuk menggesa kerajaan mencapai perjanjian bagi membebaskan berpuluh-puluh tawanan yang ditahan oleh kumpulan Hamas di Gaza dan mengadakan pilihan raya awal.
Penunjuk perasaan menjerit slogan menyatakan kemarahan kepada kerajaan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu kerana ketidakupayaannya untuk membebaskan tawanan selepas enam bulan bertempur dengan pejuang Hamas.
Media Israel melaporkan, penunjuk perasaan dilaporkan memulakan beberapa kebakaran, sebelum segera dipadamkan oleh polis.
Orang ramai melaungkan “Polis, polis siapa sebenarnya yang kamu jaga?”, dan “Ben-Gvir adalah pengganas”, merujuk kepada Menteri Keselamatan Israel, lapor akhbar Haaretz.
Penganjur protes yang dipetik media tempatan berkata, perhimpunan turut berlangsung di kira-kira 50 lokasi lain di seluruh negara selain Tel Aviv.
Bantahan yang dibuat Sabtu lalu menjadi satu kejadian biasa di Tel Aviv dan bahagian lain di negara itu, sejak bulan-bulan awal perang yang bermula pada 7 Oktober lalu.
Demonstrasi terbaharu datang ketika rundingan gencatan senjata yang termasuk perbincangan mengenai pembebasan tawanan yang akan berlangsung di Kaherah.
Rundingan itu sedang diperantarakan oleh Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat.
Imran Khan dari Al Jazeera melaporkan dari Tel Aviv berkata bahawa dua perhimpunan berbeza bergabung pada hari Sabtu dan kehadiran besar penunjuk perasaan mungkin memberi banyak tekanan kepada Netanyahu.
“Kempen Bawa Mereka Pulang kini menyertai penunjuk perasaan antikerajaan.
“Yang pertama adalah kumpulan advokasi untuk tebusan. Selama enam bulan, mereka menuntut Perdana Menteri membebaskan tahanan politik Palestin dan seterusnya mendapatkan kembali tebusan.
“Sekarang, mereka kata cukuplah. Sudah enam bulan dan tiada apa yang berlaku dari segi mengeluarkan majoriti orang.
“Semua ucapan yang kami dengar malam ini mempunyai dua mesej utama iaitu Netanyahu gagal dan tebusan perlu pulang sekarang,” ujarnya.
Penganjur protes antikerajaan di Tel Aviv mengatakan bahawa 100,000 orang menyertai tunjuk perasaan itu, menurut media Israel.
Netanyahu melancarkan perang tanpa henti Israel ke atas Gaza selepas serangan Hamas.
Dalam tempoh enam bulan lalu, sekurang-kurangnya 33,137 rakyat Palestin terbunuh dan 75,815 cedera dalam serangan Israel ke atas jalur itu dengan kebuluran dilaporkan khususnya di utara kawasan terkepung kerana kekurangan akses bantuan antarabangsa.
Israel berkata, pasukan khasnya menemukan mayat seorang tawanan yang terbunuh di Gaza.
Pusingan baharu rundingan ‘gencatan senjata tidak langsung’ bermula di Kaherah semalam.
Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA) Bill Burns hadir dalam rundingan itu bersama rakan sejawatannya dari Mesir.
Seorang wakil dari Hamas juga akan hadir, kata kumpulan itu.
Pihak Israel belum menyatakan sama ada ia akan menghantar delegasi ke rundingan itu. -AlJazeera