JAKARTA: Mahkamah Perlembagaan menyatakan tiada bukti yang meyakinkan panel hakim berhubung permohonan bekas Gabenor Jakarta, Anies Baswedan dan Muhaimin Iskandar yang mendakwa berlaku campur tangan Presiden dalam mengubah syarat pasangan calon dalam pilihan raya Februari lalu .
Hakim mahkamah itu, Arief Hidayat berkata, keputusan Majlis Kehormat (MKMK) yang menyatakan terdapat pelanggaran etika yang serius dalam membuat keputusan sebelum ini, tidak boleh dijadikan sebagai bukti mencukupi yang kononnya berlaku tindakan nepotisme sehingga menimbulkan penyalahgunaan kuasa oleh Presiden, Joko Widodo (Jokowi).
“MKMK tidak mempunyai kuasa untuk membatalkan kesahihan keputusan itu.
“Menurut Mahkamah, isu tafsiran keperluan pasangan calon seperti yang diputuskan oleh mahkamah adalah dalam lingkungan semakan kehakiman, jadi tidak timbul persoalan mengenai kebolehkuatkuasaan syarat ini,” katanya lapor Antara.
Justeru, Mahkamah Perlembagaan berpendapat Gibran Rakabuming Raka tidak mempunyai masalah untuk memenuhi syarat sebagai calon Naib Presiden.
Mahkamah Perlembagaan juga menyatakan hasil pengesahan dan penentuan pasangan calon yang dijalankan oleh Komisi Pemilihan Umum (KPU) adalah mengikut peruntukan.
Selaku pemohon dalam kes ini, Anies, calon Presiden Indonesia yang tewas berkata, terdapat campur tangan Jokowi dalam mengubah syarat calon Presiden dan Naib Presiden melalui keputusan Mahkamah Perlembagaan No. 90/PUU-XXI/2023.
Dalam petisyen mereka, pasangan Anies-Muhaimin dan Ganjar-Mahfud meminta mahkamah untuk membatalkan keputusan KPU No. 360 Tahun 2024 tentang penetapan keputusan pemilihan umum Presiden dan wakil Presiden 2024.
Mereka juga meminta mahkamah membatalkan kelayakan pasangan Prabowo Subianto-Gibran Rakabuming Raka sebagai calon dalam Pemilihan Presiden 2024 serta meminta mahkamah memerintahkan KPU mengundi semula Pilihan Raya Presiden 2024 tanpa memasukkan Prabowo-Gibran.