Pelarian Palestin hidup di tengah timbunan sampah

Pelarian Palestin hidup di tengah timbunan sampah

palestin
SEORANG wanita membawa bekalan air di hadapan khemah pelarian yang dikelilingi sampah di Rafah, selatan Gaza. – Anadolu
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANDAR GAZA: Penduduk Palestin yang mencari perlindungan di bandar Rafah, selatan Gaza mendapati diri mereka hidup di tengah-tengah timbunan sampah yang tidak dikutip kerana lori sampah tidak dapat digunakan dalam serangan Israel dan kekurangan bahan api menghalang pengumpulan sisa biasa.

Malah, dilaporkan penduduk terpaksa tidur bertemankan bau sampah dan serangan lalat yang boleh mencetuskan wabak pe­nyakit berjangkit.

“Kami tidak boleh duduk dalam khemah kerana bau sampah dan lalat. Kanak-kanak tidak boleh tidur kerana lalat. Penyelesaian perlu dicari untuk krisis sampah ini,” kata Ummu Mahmud al-Hindi yang melarikan diri dari utara Gaza dan memberitahu agensi berita Anadolu.

Ummu berkata, dalam kalangan ahli keluarga, selain kanak-kanak, terdapat juga yang sakit, kurang upaya dan warga emas.

Sampah yang menimbun di antara khemah dan tempat perlindungan mewujudkan persekitaran yang kondusif kepada penularan penyakit berjangkit, kata laporan itu.

Ahmed Dawud yang dipindahkan dari Kota Gaza ke Khan Younis dan kemudian Rafah menyatakan bahawa isteri dan anak-anaknya sangat terjejas oleh situasi itu.

“Tahap imun tiga anak saya menurun. Isteri saya juga mende­rita kerana sebahagian daripada hati dan limpanya dibuang.

Sambil menunjuk ke arah timbunan tanah, Dawud berkata, ini hanyalah timbunan kecil yang dapat kamu lihat.

“Jika lori perbandaran tidak datang semalam untuk mengutip sampah, ia akan sampai ke sini (kawasan khemah).”

Dalam pada itu, seorang lagi warga Palestin, Abdulkadir Ahmed yang berpindah dari Kem Pelarian Cibaliya kira-kira lima bulan lalu menunjukkan kumbahan yang mengalir di antara khemah-khemah.

“Kami mengalami keadaan yang sangat sukar di sini semasa musim sejuk.

“Terdapat ramai kanak-kanak di dalam khemah dan kanak-kanak ini berisiko mendapat pelbagai penyakit termasuk hepatitis, usus dan penyakit pernafasan. Kanak-kanak di sini tidak mempunyai akses kepada penjagaan kesihatan dan tidak selamat dalam persekitaran yang tidak bersih ini,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa khemah tidak melindungi daripada penyakit dan kesejukan mahupun menyediakan ruang hidup yang selesa serta berperikemanusiaan.

Penyelaras Kesatuan Perbandaran Gaza, Husni Muhenna memberitahu Anadolu bahawa majlis perbandaran di bahagian tengah dan selatan Gaza tidak dapat menyediakan perkhidmatan asas berikutan peningkatan jumlah penduduk yang dipindahkan.

Husni berkata, perkhidmatan seperti kutipan sampah, pelupusan kumbahan dan pengepaman air sangat dipengaruhi oleh pertumbuhan penduduk dan kekurangan bahan api. Pasukan perbandaran bergelut menangani longgokan sampah yang semakin meningkat di Rafah dan Deir al-Balah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN