PETALING JAYA: Buat pertama kalinya, larian Maraton Twincity diadakan selepas sambutan Aidilfitri untuk menghimpunkan pelari dari seluruh dunia menyertai acara tersebut di Persiaran Flora, hari ini.
Dalam satu kenyataan, penganjur acara tersebut, Ten Senses (M) Sdn Bhd berkata acara tersebut diadakan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri bertujuan meraikan perayaan tersebut bersama peserta.
“Seperti tradisi, Maraton Twincity setiap tahun peniaga tempatan dijemput menyediakan hidangan di khemah yang disediakan dan disajikan secara percuma kepada para peserta.
“Bagaimanapun, pada tahun ini penganjur juga akan mengadakan rumah terbuka raya, lengkap dengan lemang dan hidangan raya yang akan disajikan kepada semua peserta,” katanya.
Memasuki tahun ke-10 penganjuran, seramai 8000 peserta dari lebih 24 negara menyertai acara tersebut yang menawarkan empat kategori untuk disertai iaitu 5 kilometer (km), 12km, 21km dan 42km.
“Ianya sesuai untuk keluarga yang ingin berlari secara santai dan pelari yang bersaing untuk mempertaruhkan rekod peribadi,” katanya lagi.-UTUSAN